PENYANYI Siti Nordiana terus mengekalkan gelaran sebagai pemenang Top Top MeleTOP Wanita untuk tahun kedua berturut-turut di Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020), pada Ahad.

Bukan itu sahaja, Siti Nordiana atau mesra di sapa dengan panggilan Nana turut memenangi anugerah Artis Versatil MeleTOP serta Top Top MeleTOP Grup / Duo dan Grup/Duo MeleTOP  bersama Khai Bahar.

Mengulas mengenai kemenangannya itu, anak kelahiran Sendayan, Negeri Sembilan itu berkata, dia tidak sangka masih diberi kepercayaan oleh peminat untuk menerima anugerah itu.

“Saya rasa sangat dihargai dan tidak sangka masih diberi kepercayaan oleh peminat untuk mendapat anugerah ini. Terima kasih sebab masih sayang saya.

“Anugerah ini adalah penanda aras untuk saya menjadi lebih baik kerana peminat sudah mengundi, jadi tentu mereka juga harapkan hasil yang terbaik dari saya.

“Saya tahu harus berusaha keras lagi,” katanya ketika ditemui sebaik berakhirnya AME2020.

Iklan
Siti Nordiana memenangi kategori utama Top Top MeleTOP Wanita untuk dua tahun berturut-turut.

Ditanya mengenai pertikaian sesetengah pihak yang melihat Nana tidak lagi relevan untuk merangkul anugerah sedemikian dan mengharapkan penyanyi dan pelakon itu berusaha mendapat pengiktirafan daripada juri, Nana punya pandangan tersendiri.

“Tidak dinafikan, kalau ikutkan ramai lagi yang lebih hebat daripada saya. Tetapi kenapa saya dapat? Sebab ia adalah undian peminat, saya kira ini juga rezeki saya.

Iklan

“Justeru saya akan cuba pastikan kekal relevan dalam industri walaupun ia sukar. Sebab itu saya kata akan berusaha keras lagi termasuk untuk mendapat anugerah terbaik atau menjadi pilihan juri,” jelasnya.

Berkongsi perancangannya untuk tahun 2021, Nana berkata, dia akan tampil seimbang dengan single baharu, termasuk lagu duet serta drama.

Nana dan Khai masih menjadi pilihan peminat. Mereka memenangi kateogri utama Top Top MeleTOP Grup / Duo dan juga kategori Grup / Duo MeleTOP.