SEDAR tidak sedar, tahun 2020 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi dengan pelbagai catatan suka duka terutamanya suasana masyarakat dunia yang berubah disebabkan krisis kesihatan dan kemanusiaan dicetuskan Covid-19.

Akur dengan kehendak Covid-19, kita harus membuat banyak perubahan dan penyesuaian kehidupan yang sebahagian besarnya memedihkan dan menuntut pengorbanan.

Namun begitu, TV AlHijrah terus berdiri utuh menetapkan resolusi penyiaran sambil meniupkan semangat buat penonton setianya untuk membuka lembaran 2021 dengan azam dan iltizam bagi mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.

Terbaru, TV AlHijrah melancarkan kempen Bersama TV AlHijrah Seisi Keluarga yang telahpun bemula pada 28 November lalu sehingga 31 Januari depan dengan sajian lapan rancangan baharu serta dua kapsul istimewa.

Antara rancangan-rancangan tersebut adalah Haflah, Jom Dengar Cerita, Cinta Suami Isteri, Hijrah Berselawat, Cinta Ilmu, My H.A.U.S, Kapsul Inilah Doaku dan Kapsul Resepi Juadah Anda.

Selain itu dua buah filem iaitu 99 Cahaya Langit Eropa dan Bulan Terbelah di Langit Amerika juga bakal disiarkan dalam kempen ini.

Senarai program

1.Haflah (Setiap Sabtu, 7.30 malam – bermula 5 Disember)
Haflah adalah sebuah rancangan yang memartabatkan pembacaan al-Quran dengan maqam seni tarannum seperti Bayati, Nahawand, Rast, Sikah, Hijaz dan Jiharkah. Turut menampilkan barisan Qari kebangsaan dan antarabangsa seperti Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Dr. Anuar Hasin, Ustaz Wan Ainuddin, Ustaz Radzi dan Kamarul Hailan.

2.Jom Dengar Cerita (Setiap Jumaat, 6.55 petang – bermula 14 Disember)
Jom Dengar Cerita bakal tampil dengan 15 kisah agung Nabi Allah yang diceritakan oleh Ustaz Fadzli Aziz dan Ustazah Noni.

3.Cinta Suami Isteri (setiap Ahad, 6.30 petang – bermula 13 Disember)
Sebuah program bual bicara yang membincangkan isu kekeluargaan Islam dan solusi berlandaskan Syariah. Program ini dihoskan oleh Azidah Mohamed dan ditemani panel-panel jemputan seperti Ustazah Nik Salida Nik Salleh, Ustazah Shadiya, Imam Muda Hassan dan Ustaz Zul Ramli Mohamad Razali.

4.Filem 99 Cahaya Langit Eropa (Sabtu, 9 malam – 21 & 28 November)
Filem 99 Cahaya Langit Eropa merupakan karya adaptasi novel yang dilakonkan oleh  Acha Septriasa, Abimana Aryasatya, Raline Shah dan ramai lagi. Filem ini berkisar sekitar kehidupan seorang wartawan yang berhijrah ke Australia bersama suaminya demi ilmu. Mereka menjejaki jejak Islam di Benua Eropah pada era Merzifonlu Kara Mustafa Pasha dari Kesultanan Utsmaniyah.

5.Filem Bulan Terbelah di Langit Amerika (Sabtu, 9 malam – 26 Disember)
Filem Bulan Terbelah di Langit Amerika adalah kesinambungan daripada filem 99 Cahaya Langit Eropa. Penceritaan tertumpu kepada penjelajahan Hanum dan Rangga menjalankan misi mengesan harta karun misteri milik pelaut Muslim Tiongkok yang belayar ke Amerika sebelum Columbus.

Iklan

6.Hijrah Berselawat (Khamis terakhir setiap bulan, 9 malam – bermula 31 Disember)
Hijrah Berselawat bakal dimeriahkan dengan kehadiran kumpulan nasyid dan artis tanah air seperti InTeam, AlMawlid, Lah Ahmad, Zayne dan ramai lagi. Turut bersama ialah para penceramah seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Habib Najmuddin Othman Al Khered, Ustaz Don Daniyal dan lain-lain yang akan berkongsi sifat dan perilaku Baginda SAW untuk dijadikan suri teladan oleh umat masa kini.

7.Cinta Ilmu (Isnin hingga Rabu, 7.30 malam – Bermula 4 Januari)
Bermula tahun 2021, Cinta Ilmu diberi nafas baharu dalam menjawab kemusykilan agama terutamanya persoalan yang berkisar sekitar Akidah, Sirah dan Ibadah bersama Ustaz Datuk Haji Badli Shah Haji Alauddin, Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali dan Ustaz Roslan Mohamed.

8.My H.A.U.S (Isnin, 9 malam – Bermula 25 Januari)
Program Realiti Make Over rumah Asnaf yang memerlukan perhatian khusus bagi mendapatkan tempat kediaman yang selesa dan boleh diduduki seisi keluarga. Program yang dihoskan oleh Syamsul Debat itu akan menjejaki 13 keluarga Asnaf terpilih yang diberi bantuan untuk membaiki kediaman mereka.

Iklan

9.Kapsul Inilah Doaku (Setiap hari, 8.30 malam – (bermula 1 Disember)
Kapsul Inilah Doaku adalah himpunan doa-doa pilihan untuk pelbagai situasi kehidupan harian. Kapsul ini mengajak penonton menghafal doa, memahami maksudnya serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

10.Kapsul Resepi Juadah Anda (Setiap Sabtu & Ahad, 6.55 petang – bermula 28 November)
Kapsul Resepi Juadah Anda adalah koleksi lapan video masakan penonton TV AlHijrah yang telah terpilih sebagai pemenang pertandingan video Resepi Juadah Anda yang dilancarkan pada Oktober lalu.

 

(FOTO: Instagram TV AlHijrah)