SEMENJAK drama Takdir Yang Tertulis ditayangkan di TV3, lagu nyanyian Amylea, Kendati turut menjadi perhatian ramai.

Bagaimanapun, lagu tersebut bukan sahaja menjadi antara lagu tema drama Takdir Yang Tertulis, tetapi ia juga karya yang dianggap ‘takdir yang tertulis’ buat Amylea.

Kendati yang membawa maksud ‘walaupun’ itu adalah ciptaan sepenuhnya Amylea. Ia dihasilkan tahun lalu tetapi hanya dilancarkan secara rasmi pada 31 Januari lalu serentak dengan video lirik di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Amylea yang sudah terbabit dalam bidang penciptaan lagu sejak 2007 dengan anggaran lebih 100 lagu yang dihasilkan turut menyifatkan Kendati adalah keajaiban dan rezeki daripada ALLAH SWT.

Malah, lebih istimewa apabila lagu itu berada di kedudukan trending di YouTube.

“Alhamdulillah, lagu ini masih trending sejak hari pertama dilancarkan. Sangat bersyukur kepada ALLAH SWT. Dia Maha Mengetahui dan Maha Melihat segala dugaan yang saya dan pasukan lalui terutama sepanjang tahun lalu yang penuh cabaran buat kita semua.

“Sebenarnya lagu ini tidak tahu bila nak dilancarkan. Tetapi mungkin sudah rezeki apabila syarikat produksi Radius One beritahu saya kena keluarkan juga dan minta saya arahkan sendiri penggambaran klip video sebab peralatan memang ada di pejabat mereka.

“Ini kesempatan buat saya apabila mereka beri peluang dan keluarkan lagu ini di YouTube walaupun drama sudah ditayangkan seminggu awal,” katanya.

Akui Amylea, terdapat segelintir pihak yang memandang rendah lagu ciptaannya itu sehingga membuatkan dia terfikir untuk menangguhkan pelancaran lagu tersebut.

“Selain hasilkan Kendati tahun lalu, banyak juga lagu saya tulis untuk artis lain. Ada yang sudah dirakam, ada yang belum dan ada yang sedang dalam proses rakaman, tapi PKP pula.

“Sepanjang tiga bulan lalu, saya tulis kira-kira 20 buah lagu termasuk lagu tema drama, jingle dan program TV lain. Jadi ia tempoh tiga bulan yang sangat sibuk buat saya.

“Namun, inilah yang dikatakan rezeki. Sewaktu menghasilkan Kendati, ada beberapa pihak yang memandang rendah lagu ini. Saya fikir ini antara sebab kenapa saya tak keluarkan cepat sebab saya risau lagu ini tak diterima orang.

Iklan

“Sejujurnya ada pihak yang merendah-rendahkan lagu ini pada mulanya,” ujarnya.

Amylea hampir patah semangat selepas hasil karyanya diperlekehkan sesetengah pihak.

Amylea berkata, penghasilan lagu itu sekurang-kurangnya membuatkan peminat mengenalinya sebagai penyanyi dan penerbit yang pentingkan feel serta penyampaian sesuatu lagu.

“Saya fikir, saya sendiri yang tulis kata-kata (lirik), jadi saya rasa sangat penting untuk seorang penyanyi menyampaikan cerita lagu itu dengan sebaiknya melalui alunan suara dan aksi nyanyian yang tepat dengan jalan cerita.

Iklan

“Saya berterima kasih kepada syarikat rakaman 17 Eleven Music dan Radius One terutama Hisyam Abdul Karim, Shahrulezad Mohameddin dan Fazli Baharun sebab mereka percayakan bakat saya. Saya menghasilkan lagu tema untuk drama mereka sejak 2007 lagi.

“Sampai sekarang mereka masih memberi peluang kepada saya termasuk untuk drama terbaru Takdir Yang Tertulis. Ada beberapa drama lagi selepas ini.

“Bukan Kendati saja, tapi ada lagu lain lagi cuma belum keluar. Saya berharap peminat akan menantikan lagu yang akan dikeluarkan untuk artis lain juga,” katanya.