TIADA yang lebih bermakna daripada melihat kembalinya anak ke pangkuan keluarga.

Kepulangan anak bintang Bollywood, Shah Rukh Khan, Aryan yang dibenar ikat jamin oleh mahkamah setelah 26 hari berada di dalam penjara disambut meriah.

Menurut Times of India, para peminat aktor berkenaan hadir meraikan kepulangan Aryan dengan berkumpul di hadapan kediaman pelakon itu di Bandra, Mumbai.

Terdahulu, peminat yang menunggu di luar Mannat (kediaman Shah Rukh) sepanjang hari Jumaat kecewa selepas Aryan tidak pulang ke rumah pada hari itu.

Bagaimanapun mereka kembali hadir ke Mannat pada hari ini untuk menyambut kepulangan anak aktor kesayangan mereka itu pulang ke rumah.

Aryan dikatakan keluar dari penjara sekitar jam 11.00 pagi dan sekitar jam 11.30 dia telah dilihat tiba di rumahnya.

Melihat kelibat Aryan, peminat Shah Rukh bersorak kuat sebagai meraikan kepulangan. Ada yang bertindak memasang mercun untuk memeriahkan suasana.

Keadaan jadi meriah seperti temasya di luar Mannat hingga polis sukar mengawal orang ramai. Ketika Khan junior memasuki banglo itu, polis bertindak memastikan ruang  perkarangan terkawal.

Difahamkan saudara-mara keluarga tersebut telah tiba terlebih dahulu untuk menyambut Aryan. Keluarga Shah Rukh dikatakan mengadakan majlis meraikan kepulangan Aryan secara kecil-kecilan.

Iklan

 

Aktor terbabit dilaporkan akan kembali ke set penggambaran bermula bulan hadapan.

Shah Rukh dan isterinya, Gauri berkahwin pada tahun 1991 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aryan, 23, Suhana, 21 dan Abram, 8.

Iklan

Terdahulu, Aryan sedang ditahan di Penjara Arthur Road. Selepas ditahan bersama tujuh yang lain termasuk dua wanita ditahan anggota polis dari Biro Kawalan Narkotik (NCB) di sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai 3 Oktober lalu.

Dalam serbuan, NCB turut merampas 13 gram kokain, 21 gram charas (kanabis pekat), 22 pil methamphetamine, 5 gram dadah jenis mephedrone dan lebih 1.3 juta lakh Rupee.

Baca juga: Shah Rukh Khan Tak Lalu Makan, Aryan Tak Dapat Layan Istimewa

Sumber: Times of India