Kesal dengan tuduhan tidak berasas, Eizlan Yusof bakal saman Hans Isaac

Datuk Eizlan Yusof & Datuk Hans Isaac - SinarPlus
Datuk Eizlan Yusof & Datuk Hans Isaac - SinarPlus
A
A
A

PELAKON yang juga Ahli Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Seri Eizlan Yusof, bakal mengambil tindakan saman terhadap Datuk Hans Isaac.

Tindakan tersebut dilakukan susulan tuduhan Hans yang mengaitkan pembabitannya dalam penyalahgunaan kuasa melibatkan syarikat produksi Excellent Pictures Sdn. Bhd berkenaan geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak FINAS.

Eizlan, 49, menerusi satu kenyataan media hari ini berkata, dia berasa kecewa atas tuduhan melulu dan tidak berasas yang dilontarkan oleh bekas pengerusi Finas itu yang telah mencemarkan nama, imej dan reputasinya.

“Untuk makluman, syarikat tersebut tiada sebarang kaitan dengan saya sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang sahamnya.

“Tuduhan tersebut dibuat pada 16 November lalu melalui kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang mempunyai ahli melebihi 200 orang dalam kumpulan Whatsapp tersebut,” ujarnya.

Tambah Eizlan, disebabkan tuduhan tidak berasas itu, telah mengganggu fokusnya, selain mendapat tekanan daripada pelbagai pihak.

“Dakwaan palsu itu secara langsung telah menular dan masih berlarutan sehingga mencalarkan nama baik dan reputasi saya, mengganggu fokus dan menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

“Ini juga memberi kesan secara langsung kepada karier dan perniagaan saya.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana imej dan reputasi saya telah terkesan akibat dusta tersebut, khasnya saya selaku Ahli Perbadanan Finas dan kredibiliti saya selaku penggiat industri kreatif yang telah berkecimpung selama lebih daripada 20 tahun serta dikenali masyarakat dan industri perfileman negara,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Eizlan turut memaklumkan telah melantik peguamcara, Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co dan tindakan guaman terhadap Hans Isaac sedang berjalan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca