PELAKON dan usahawan Wawa Zainal kesal apabila namanya dan suami, Aeril Zafrel dikaitkan dengan dakwaan memotong gaji pekerja sehingga menimbulkan pandangan serong masyarakat terhadap mereka.

Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 32, sepanjang beberapa tahun membina empayar perniagaan kosmetik yang kini semakin berdiri kukuh, dia sama sekali tidak pernah mengabaikan kebajikan para pekerja, apatah lagi gagal membuat bayaran penuh gaji kakitangan terlibat.

Namun isu berkenaan mula dikaitkan dengan mereka apabila sebuah blog menggunakan fotonya bersama suami, pada paparan artikel mengenai isu syarikat potong gaji pekerja.

“Ini adalah fitnah paling teruk pernah kami terima. Kalau blogger terbabit meletakkan tanda soal, dan gambar kami dikaburkan dalam penulisan terbabit, mungkin boleh terima lagi.

“Namun gambar kami berdua digunakan dengan jelas pada penulisan yang memperkatakan tentang isu pemotongan gaji pekerja seolah-olah kami adalah majikan atau syarikat yang dimaksudkan.

“Tindakan tersebut telah menyebabkan salah faham ramai dan nama baik serta reputasi kami selaku pemilik jenama Wawa Cosmetics tercalar,” ujarnya kepada SinarPlus.

Wawa meraikan leaders dan resellers Wawa Cosmetics pada acara Wawa Glamourous Bolly Night & Awards baru-baru ini.

Susulan itu, Wawa berkata, suaminya Aeril bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit sebagai pengajaran.

“Aeril geram sangat dan mahu mengambil tindakan undang-undang. Difahamkan pihak terbabit juga sudah terima LOD (letter of demand) berkenaan perkara itu.

“Perbuatan tersebut dianggap sebagai serius oleh Aeril kerana sebagai usahawan, perkara sebegitu memang akan memberikan impak negatif pada kami,” katanya yang tidak mahu hal sama berulang lagi.

Hargai jasa

Dalam pada itu, ibu kepada empat anak yang ditemui ketika acara Wawa Glamourous Bolly Night & Awards yang berlangsung di Hotel Tenera baru-baru ini memberitahu, selaku majikan, pihaknya sentiasa menghargai usaha keras dan jasa yang diberikan para pekerja yang juga merupakan penyumbang kepada kejayaan syarikatnya.

“Kami sentiasa menghargai dan menjaga kebajikan lebih 30 pekerja yang ada bersama kami. Kami tidak pernah memotong gaji mereka, sebaliknya sentiasa membantu mereka dengan pelbagai insentif.

Iklan

“Ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pun, kami masih lagi memberi bonus kepada pekerja, selain hadiah percutian ke luar negara selepas pandemik. Jadi tak mungkinlah kami nak potong gaji mereka pula,” tegasnya.

Pada acara sama Wawa Cosmetics turut melancarkan produk baharu penjagaan bibir, True Love yang didatangkan dengan Lip treatment dan Lip Matte.

“Alhamdulillah walaupun baru sahaja dilancarkan, tetapi sudah habis terjual. Walaupun kami hanya keluarkan sebanyak 30,000 unit, tetapi sambutan yang diberikan sangat luar biasa.

“Kami tidak jual banyak kerana mahu melihat respons pembeli terlebih dahulu. Insya-ALLAH selepas ini kita tengok macam mana,” katanya yang bakal sibuk dengan beberapa aktiviti amal sepanjang Ramadan nanti.

Iklan

(FOTO: WAWA COSMETICS)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.