Ketepikan keuntungan, Syatilla Melvin ajak orang ramai kumpul pahala

Syatilla Melvin
Syatilla Melvin
A
A
A

DALAM pada sibuk mengejar impian membina empayar perniagaan kosmetik miliknya, pelakon, Syatilla Melvin, tidak lupa memanfaatkan peluang membuat amal kebajikan.

Menerusi kolaboratifnya dalam perniagaan Nasi Daging Telentang LB Creuset, Syatilla atau nama penuhnya Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 30, berhasrat menyerahkan sepenuhnya hasil keuntungan diperoleh untuk membantu menyiapkan pembinaan sebuah masjid di Parit Buntar, Perak.

Menurut Syatilla, dia mahu menggunakan platform dan pengaruhnya sebagai selebriti menyebarkan kebaikan dan berkongsi pahala bersama orang ramai.

“Bila pihak LB Crueset menawarkan peluang bekerjasama menerusi Nasi Terlentang ini, saya terus terdetik tidak mahu menggunakan keuntungan untuk diri saya.

“Saya sudah ada pendapatan sendiri melalui perniagaan yang diusahakan, jadi kenapa tidak saya gunakan peluang ini untuk bantu orang lain.

“Kebetulan saya mendapat tahu tentang pembinaan sebuah masjid di Parit Buntar memerlukan sumbangan dana untuk disiapkan setelah terbengkalai lebih dua tahun dan saya terus memasang niat untuk tujuan itu,” jelasnya yang ditemui ketika pelancaran produk tersebut baru-baru ini.

Tambah isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu lagi, sebagai selebriti dia mahu mengajak orang ramai untuk sama-sama membuat kebaikan, apatah lagi pada bulan Ramadan yang mulia.

“Saya tekad tidak mengambil satu sen pun hasil keuntungan agar dapat diserahkan sepenuhnya untuk membantu dana masjid berkenaan.

“Jadi bagi mereka yang membeli Nasi Terlentang ini, secara tidak langsung telah menyumbang kepada pembinaan masjid tersebut yang memerlukan dana sekitar RM200,000 lagi.

“Saya hanyalah pengantara yang membuka jalan kepada orang ramai membuat sumbangan,” akui Syatilla.

Dalam pada itu, pelakon Sha dan Shah itu mengakui semenjak aktif dalam bidang perniagaan, banyak ilmu dipelajarinya termasuklah dalam soal berkongsi rezeki .

“Bila menceburi bidang perniagaan, barulah saya sedar ia bukan semata-mata tentang keuntungan sahaja.

“Saya mula mengambil berat tentang soal keberkatan rezeki diterima dan hak-hak orang lain dalam rezeki kita.

“Perniagaan ternyata mengubah kehidupan saya menjadi lebih positif dan bermakna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Syatila mengakui turut sibuk mengendalikan perniagaan kosmetiknya menerusi jenama Kekasih by The Melvins.

Kesibukan itu juga menyebabkan dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan kerana sedar tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

“Sejak terlibat dengan perniagaan, saya akui sukar memberikan komitmen pada lakonan.

“Memang banyak tawaran saya terpaksa tolak kerana tidak mahu menyusahkan pihak terlibat disebabkan kekangan masa yang saya hadapi.

“Kalau selepas ini saya berlakon pun, bukan lagi kerana pendapatan tetapi kerana melepaskan rindu,” akuinya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca