'Ketua Cef' dah pergi buat selama-lamanya, Sean terkenang kemanisan sambut Tahun Baharu Cina
BUNYI pukulan gendang dan simbal sudah pastinya satu situasi yang wajib mewarnai sambutan perayaan Tahun Baharu Cina. Keunikan dan kelincahan tarian naga serta gema letupan bunga api menambahkan lagi suasana kemeriahan.
Bukan semata-mata keseronokan angpau atau hidangan Yee Sang, tetapi peluang untuk menatap wajah insan tersayang dan meluangkan masa dengan mereka juga menjadi detik istimewa yang paling dinanti-nantikan.
Sama juga dengan pelakon dan pengacara berketurunan Tionghoa popular negara, Sean Lee Jia Ern. Artis berusia 28 tahun itu turut mengakui, selain Tahun Baharu Cina, kedatangan tahun 2022 merupakan satu langkah baharu dalam lembaran hidupnya.
Baca juga:Risau dengan penyakit misteri Qila Shahirah lebih berhati hati untuk mempercayai sesiapa
Perkara tersebut jelas apabila pelakon drama rantaian The Hotel 2: Jiwa Yang Kau Puja tersebut berhasrat untuk lebih memperlahankan kerjaya dan tidak terlalu menyibukkan diri dengan aktiviti seni.
Sean lebih memilih untuk menumpahkan sepenuh perhatian kepada famili, sekali gus mahu menikmati erti sebenar nilai dan nikmat hubungan kekeluargaan ketika meraikan perayaan.
“Tahun lalu saya sangat sibuk sehingga tidak berpeluang untuk bersama dengan keluarga. Banyak masa dihabiskan di set penggambaran. Boleh dikatakan juga sejak lima tahun berkecimpung dalam dunia seni, saya agak kurang memberi fokus kepada keluarga.
“Bukan sahaja pada hari raya, tetapi kadangkala sambutan hari jadi pun saya tidak berpeluang hadir. Awalnya saya tidak menitikberatkan hal sebegitu dan merasakan ia satu perkara biasa, tetapi sekarang nampaknya semua sudah berubah kerana detik indah dulu, memang sukar untuk kembali lagi,“ luah Sean dalam nada bersahaja, namun kedengaran penuh ketegasan.
Hargai peluang
Bersembang secara berhadapan di Studio Sinar Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk bertanya kepadanya tentang pelbagai hal.
Antaranya, apakah kenangan manis Sean saat merayakan perayaan Tahun Baharu Cina?
Sean membungkam seketika sebelum bersedia mengungkap 1,001 cerita yang agaknya sudah lama tersimpan kemas di lubuk hati.
Riak wajah beliau yang persis bintang K-pop itu kelihatan sedikit suram dan secara tiba-tiba Sean bersuara:
“Beberapa tahun lalu (sudah bergelar artis) ketika acara makan besar, semua ahli keluarga telah tiba, kecuali saya. Sebaik sampai, barulah mereka mula makan. Kalau saya lambat dan acara sudah bermula, nenek biasanya orang yang akan teman dan kami berdua banyak berbual itu dan ini.
“Pada saat itu, kita langsung tak terfikir tentang kehilangan. Namun, sejak dua tahun lalu, momen seperti itu sudah tak dapat dirasai lagi. Nenek saya telah meninggal dunia, begitu juga dengan teman baik saya.
“Pemergian dua insan tersayang membuatkan saya sedar bahawa hidup ini terlalu singkat dan bila-bila masa sahaja ajal boleh menjemput.“
Imbaunya lagi, jikalau mendiang nenek, Gan Hiang Ling masih ada, menu seperti Poon Choi dan Four Heavenly Kings (sayur campur) sudah tersedia untuk dimakan bersama.
Wanita hebat itu juga sentiasa menjadi ‘ketua cef‘ dan kesibukannya menewaskan dapur hotel bertaraf lima bintang, kata Sean dengan kerlingan manja.
“Ya, sebahagian besar juadah untuk hidangan makan besar memang disediakan nenek yang saya cintai,“ ceritanya dengan nada penuh tenang.
Namun demikian, di sebalik tutur kata beliau, penulis seperti dapat meneroka kepiluan yang meledak di dalam sanubarinya itu.
Seperkara, kongsi Sean, sedikit masa dulu, tradisi memberi duit angpau memang sangat dirasainya.
“Adakala wang angpau mencecah RM5,000 jika saya bertandang ke rumah saudara-mara atau kenalan. Sekarang berbeza sedikit kerana jika tidak bersua muka lebih-lebih pada era Covid-19, memang tidak mendapat apa-apa. Acara makan besar juga kami adakan di restoran sahaja sekarang,“ katanya sambil mengukir senyuman bermakna.
Sumber kekuatan
Naratif perbualan kami diteruskan. Cuaca yang baik pada petang Isnin lalu membuatkan perbualan yang santai itu menjadi semakin rancak.
Kata Sean, dalam dunia yang serba moden yang mana apa yang diidamkan dapat diperoleh dengan pantas dan mudah, penjagaan kesihatan mental jangan sesekali diabaikan.
Memang benar, sesetengah daripada kita memandang hal tersebut terlalu peribadi untuk diungkap, apatah lagi takut dijaja ‘keliling kampung‘.
Namun, realitinya, individu yang mengalami gangguan emosi perlu dibantu, bukan ditertawakan. Cuba tanya diri sendiri, apa yang pernah kita lakukan kepada insan yang berdepan dengan krisis kesihatan itu?
Secara peribadi, beritahu Sean, beliau sendiri pernah berada dalam fasa ‘jiwa kacau‘ lebih-lebih ketika mengharungi saat kehilangan orang tercinta.
Meskipun tidak serius sampai tahap perlu bertemu pakar, namun kedukaan yang dipendam pernah membuatkan beliau terfikir ‘atas dasar apa dirinya masih perlu hidup?‘.
“Disebabkan saya seorang yang suka memendam perasaan dan tidak meluahkannya kepada sesiapa, perkara ini sedikit sebanyak mengganggu emosi. Waktu itu saya memilih untuk menjauhkan diri daripada rakan-rakan, gemar bersendirian dan hanya melakukan semua perkara secara berseorangan.
“Mujur karakter saya seorang yang gemar berjenaka dan lucu. Biarpun sedikit, tetapi sisi tersebut banyak membantu untuk saya kembali memotivasikan diri dan mula mencari teman-teman untuk meluangkan masa bersama,“ ungkapnya.
Bagaimanapun, anak kelahiran Selangor itu sedikit lega apabila masyarakat sudah mula sedar akan kepentingan kesihatan mental dan implikasinya.
“Sejak kebelakangan ini, saya lihat semakin banyak perkongsian tentang nasihat dan kata-kata semangat yang dimuat naik di laman sosial berhubung kesedaran mental. Pada saya, ia secara tidak langsung membantu mangsa berfikir bahawa mereka tidak keseorangan,“ ujarnya.
Pada pertemuan kami juga, Sean mendedahkan bahawa ibunya merupakan bekas pesakit kanser.
“Biarpun masih belum pulih sepenuhnya, saya bahagia dan berbangga apabila ibu berjaya melepasi segala detik mencabar dalam hidupnya.
"Saya akan berusaha untuk menjadi sumber kekuatan buat ibu. Sama seperti apa yang saya katakan tadi, saya juga akan sebaik mungkin meluangkan masa dengan keluarga dan individu di sekeliling kerana kita tidak tahu bila segalanya akan berakhir,“ luah beliau.
Tajamkan skil
Berdasarkan isi penceritaan, ia tidak bermakna Sean langsung menjauhkan diri dari pentas seni.
Cuma empunya diri mahu lebih selektif dalam memilih peluang yang hadir demi ‘mencuri‘ masa bersama famili termasuk melakukan aktiviti yang digemarinya.
Aktor yang mula membina nama dengan drama Keluarga Pontimau itu berkata, beliau sebenarnya cenderung untuk bersukan dan melakukan rakaman video.
Mungkin ramai tidak mengetahui kerjaya Sean sebenarnya bermula sebagai YouTuber, sebelum beliau dikenali sebagai pelakon.
“Saya kini kembali aktif menghasilkan video di saluran digital YouTube saya, Seanlje.
“Saya ingin menjadikan saluran ini sebagai medan inspirasi dan motivasi kepada khalayak. Status sebagai selebriti
tidak mengubah sifat kemanusiaan dalam diri. Saya turut mempunyai hati dan perasaan seperti orang lain,“ tegasnya yang menggemari permainan badminton dan futsal.
Menanam impian untuk bergelar seorang pengarah, personaliti berkenaan juga mahu segera mengambil kesempatan yang ada untuk menambah pengetahuan dan mempertajamkan kemahiran berbahasa Melayu.
“Meskipun banyak berlakon cerita Melayu, tetapi saya masih perlu belajar dan berusaha agar menjadi lebih fasih dan fasih. Saya akui masih tidak dapat bertutur dengan cepat, tetapi semuanya itu akan diperbaiki dari semasa ke semasa,“ katanya menanam azam sempena Tahun Harimau kali ini.
Ungkap Sean, diberi kepercayaan mengendalikan program seperti Mbuzz juga antara salah satu platform beliau berlatih bertutur dalam bahasa kebangsaan, di samping mengasah bakat dan menimba pengalaman.
“Namun, apabila mengendalikan program besar yang dihadiri dengan bintang terkenal, kadangkala saya tak dapat lari daripada berasa cemas dan gementar. Saya juga takut melakukan kesilapan,“ akuinya.
Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang