WAKTU berputaran dengan sangat pantas. Sudah 23 hari kita merentas tahun baharu, 2022. Himpunan kisah suka dan duka atau emosi perit yang sukar dibenamkan pada tahun lalu sudah pun menjadi sejarah. Biarkan sahaja segalanya tersimpan di dalam kotak memori.

Bagi Qila Shahirah, memegang gelaran Ratu Hijabista 2020 sesungguhnya telah membuka banyak lembaran yang indah. Menerusi pertandingan itu, ia secara tidak langsung membuka jalan kepada beliau untuk mencipta nama dalam industri hiburan tanah air.

Ketika bersembang dengannya baru-baru ini, pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan Komunikasi dan Pengajian Media Penyiaran tidak lokek berkongsi itu dan ini.

 

Baca juga: Saya terkilan apabila ramai mengatakan saya bergantung hidup dengan Faizal Tahir sepenuhnya luahan hati anas

Baca juga: Pernah muncul dalam filem Gol Gincu 2, Niena Azman pilih fokus bidang sukan berbanding jadi pelakon

Meskipun fokus utama untuk bergelar pelakon, pemilik nama Wan Nur Aqilah Shahirah Wan Lokman sukar untuk menolak suratan takdir. Nampaknya, bidang pengacaraan yang menjelma terlebih dulu.

“Sejak kecil jiwa saya lebih kepada lakonan dan sememangnya sudah membuat keputusan untuk berlakon selepas bergelar juara. Namun, tawaran menjadi pengacara datang dulu.

“Saya bersangka baik dengan perancangan ALLAH. Mungkin cabang itu lebih menghampiri saya, barangkali saya masih belajar dan bimbang jika tidak mampu memberi komitmen,“ tutur beliau yang kini sedang mencongak perjalanan masa depan yang lebih teratur pada tahun ini yang diharap lebih indah.

Bagi penulis, personaliti Cover SPlus pada kali ini, seorang yang berbakat besar. ‘Campaklah‘ beliau untuk mengacara apa jua program, nescaya empunya badan mampu melaksanakan misi dengan baik.

Masakan tidak, kemahiran gadis itu berbicara, ditambah dengan pesona kejelitaan di hadapan kamera sudah pasti membuatkan ramai yang tertarik dengannya. Apatah lagi fizikal dan raut wajahnya sesekali dilihat persis pengacara dan pembaca berita jelita, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan.

Benar, tatkala membelek hamparan foto yang dikongsikan Qila di laman sosial, sesekali penulis terkeliru dan tertanya, adakah itu sosok gadis bernama Qila? Pelanduk dua serupa katakan.

Persaingan

Sekadar tertawa dengan cerita persamaan wajah itu, Qila mengakui posisi sebagai pengacara secara jelas memang mewujudkan persaingan.

Bukan bermakna dirinya sahaja yang berhak mendominasi pentas, tetapi beliau perlu memiliki sesuatu yang mampu untuk dijadikan ‘senjata berperang‘ dan mempertahankan diri jika ingin terus ‘hidup‘ di lapangan itu.

Wajah jelita dan bakat baginya tidak cukup, tetapi perlu memiliki sesuatu yang ekstra dan ada faktor wow!
“Perasaan iri hati kepada sesiapa itu tiada. Sejujurnya saya sendiri masih baharu dan perlu banyak belajar, tiada jalan mudah untuk berjaya.

“Pada saya, setiap pengacara perlu mempunyai gaya tersendiri sewaktu mengendalikan sesebuah acara termasuk memiliki pengetahuan tinggi. Perkara tersebut membuatkan personaliti atau selebriti itu berbeza antara satu sama lain.

“Secara peribadi, pengalaman tidak hanya membuatkan seseorang itu menjadi matang, tetapi kombinasi pengalaman dan pengetahuan mampu menjadi individu lebih terserlah,“ ulas pengacara program Sis Travel itu.

Bergelar Juara Hijabista 2020 telah membuka peluang buat Qila untuk menceburi bidang pengacaraan dan hiburan tanah air.

Qila juga sedari bidang yang sedang dipeloporinya begitu mencabar. Saban hari, ada sahaja program yang diterbitkan termasuk kelibat muka baharu yang silih berganti. Keadaan sebegitu bagaimanapun bukan satu halangan, apalagi membuatnya gentar.

Tidak hanya bidang pengacaraan, memilih untuk menjadi anak seni yang beraksi di pentas lakonan juga tidak mudah. Baru-baru ini, kecoh apabila isu pelakon perlu memiliki pengikut sebanyak 1 juta di laman Instagram sebelum layak membintangi sesebuah naskhah.

Apabila soalan panas itu ditanya kepada Qila, beliau terpaku sejenak.

Kemudian, kata-kata ini meluncur dari bibirnya: “Saya enggan memperbesarkan hal tersebut. Memandangkan saya juga masih belum sampai ke arah itu, jadi saya lebih senang untuk memberi fokus kepada aktiviti pengacaraan terlebih dahulu.

“Pada masa sama, saya sedang menjalani tempoh latihan industri dan dijadualkan tamat belajar sekitar pertengahan tahun ini. Justeru, saya pilih untuk fokus kepada pengacaraan sebelum berlakon.“

Anasir hitam

Bagi Qila, keyakinan, keberanian dan sanggup berhadapan dengan sebarang dugaan dapat membantu sesiapa sahaja untuk terus melangkah maju ke hadapan.

Namun, sudah resam manusia, pasti mempunyai kekurangan dan kelemahan. Kadangkala apabila iman terlalu rapuh, perasaan iri hati, dengki, geram atau cemburu sesekali mencuit sanubari dan ia hadir tanpa sedar.

Paling mudah, perkongsian tentang kebahagiaan atau harta benda di media sosial yang pada asalnya untuk tujuan baik, namun kerap disalah ertikan.

Maka, terjadilah hal-hal mistik, walhal kini manusia dilingkari dengan kemodenan. Disebabkan terasa, ada yang sanggup menduakan Pencipta dengan mempraktikkan ilmu hitam untuk menundukkan individu tertentu.

QILA mengharapkan agar dirinya dirinya dijauhkan daripada individu yang mempunyai hasad dengki dengan menggunakan ilmu hitam.

Mereka sanggup melihat orang lain menderita. Sedangkan, hakikatnya masing-masing sudah ditakdirkan dengan rezeki masing-masing.

Disebabkan itu, Qila amat berhati-hati ketika bergaul dan tidak mudah baginya meletakkan kepercayaan kepada sesiapa, meskipun dalam kalangan orang terdekat.

“Kita boleh bergelak ketawa bersama, tetapi belum tentu ketika susah orang itu mahu membantu. Mungkin dia lebih senang melihat kita terus jatuh dan musnah. Kita tak tahu apa yang bermain di dalam hatinya.

“Mungkin saya boleh berkongsi sedikit cerita ketika menyertai pertandingan Ratu Hijabista. Beberapa kru minta kami agar berhati-hati jika ingin memakan sesuatu. Bimbang sekiranya ada yang berniat jahat meletakkan sesuatu di dalam makanan tanpa sedar.

Iklan

“Kru juga nasihatkan kami agar jangan sewenang-wenang membuat ulasan makanan tanpa memeriksa latar belakang sumber hidangan tersebut. Menurut cerita yang disampaikan, pernah terjadi kejadian seorang wanita terkena perbuatan sihir gara-gara review makanan. Sejauhmana kebenaran kisah tersebut saya tak pasti,“ terangnya panjang lebar dalam nada perlahan.

Pada masa sama juga, Qila mengingatkan diri sendiri agar tidak hanyut dengan kehendak nafsu dan sentiasa mendidik jiwanya agar tidak berbolak-balik.

“Setiap apa yang dilakukan perlu dimulakan dengan bacaan doa dan niat kerana ALLAH. Pastikan segala hal yang kita lakukan perlu berpaksikan kepada-NYA. Mendalami ilmu agama serba sedikit juga boleh menghindari dan pada masa sama merawat hati kita sendiri,“ ungkapnya.

Sukan ekstrem

Noktahkan cerita yang meremangkan bulu roma, perbualan kami dialihkan kepada hal-hal yang lebih menyeronokkan.

Bagi SinarPlus, Qila sebenarnya boleh diibaratkan seperti bidalan air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
Penampilan dan pesonanya yang lemah lembut tidak bermakna empunya diri terlalu kewanitaan yang hanya mengoles gincu pada bibirnya dan pipi, ya!

Jangan tidak percaya, beliau seorang yang lasak apabila sentiasa mengeluarkan peluh bagi memicu adrenalinnya demi kesihatan tubuh badan.

Kata wanita bermata bundar itu, dirinya gemar mencabar diri sendiri untuk mengetahui tahap kemampuan dan keberanian saat melakukan aktiviti lasak penuh cabaran.

Perwatakan yang lemah lembut dan feminin tidak bermakna Qila tidak menyukai aktiviti sukan lasak.

“Orang kata malang tidak berbau. Perasaan takut itu memang ada, tetapi hal itu juga membuatkan kita mengambil berat soal keselamatan dan lebih berjaga-jaga.

“Pernah sebelum ini saya mengalami lebam dan bengkak pada bahagian kaki kerana terkena batu sewaktu melakukan sukan berakit.

Iklan

“Alhamdulillah, segalanya baik dan tiada sebarang kecederangan serius,“ ujar wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Secara tidak langsung, cintanya terhadap sukan ekstrem turut membuatkan personaliti serba boleh tersebut terdedah kepada cahaya matahari dan mudah berasa keletihan.

Justeru, beliau memastikan sebelum memulakan aktiviti, mengambil makanan tambahan yang kaya dengan vitamin C didahulukan. Penggunalan krim pelindung cahaya matahari dan aloe vera juga sudah menjadi kemestian setiap kali Qila keluar rumah.

“Maklum sahaja apabila melakukan perkara yang banyak terdedah kepada cahaya matahari dapat membuatkan kulit kita menjadi sensitif, alahan dan break out terutama pada bahagian muka.

“Selepas melakukan aktiviti mengeluarkan peluh, saya akan segera mencuci muka dan memperbanyakkan minum air putih. Apabila berada di set penggambaran, walaupun penat saya perlu tampil bertenaga dan bersemangat,“ terangnya.

Wanita berusia 23 tahun itu turut menasihatkan gadis di luar sana agar menjaga kesihatan dengan mengamalkan gaya pemakanan sihat dan luangkan masa untuk beriadah.

“Pada era Covid-19 ini, kita perlu lebih rajin dari segenap hal. Tidak kira dari aspek kesihatan, malah kekuatan mental juga mesti selalu diberi penekanan,“ katanya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram