“PELIKKAN? Selalunya ibu bapa yang memilih untuk menghantar anak ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tetapi berbeza pula dengan saya. Saya sendiri yang minta untuk belajar di sekolah itu kerana ingin berkawan.“

Begitulah sejarah penyampai berita Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rasyidah Abu Johan yang menyingkap kisah bagaimana beliau mempelajari bahasa Mandarin sejak kecil.

Bermula dengan sifat ingin memudahkannya berkomunikasi dengan sesiapa sahaja, kemudian tidak sangka ia berubah menjadi kerjaya pula.

 

Baca juga: Ketua cef dah pergi buat selama lamanya Sean Lee terkenang kemanisan sambut tahun baharu Cina

Baca juga: Saya terkilan apabila ramai mengatakan saya bergantung hidup dengan Faizal Tahir sepenuhnya luahan hati Anas Tahir 

 

Kehadiran wanita itu beberapa tahun lalu mendapat perhatian. Dirinya bak selebriti. Namun, itu bukan menjadi keutamaan Rasyidah, 34, yang ramah dan petah berbicara.

Ujar beliau merendah diri, misi utamanya adalah untuk menyampaikan berita sahih terus kepada masyarakat menerusi Berita Mandarin setiap hari iaitu pada jam 12.30 tengah hari dan 7.30 malam.

Saat ditebak lebih mendalam ketika pertemuan kami di Wisma Berita, Angkasapuri RTM, Kuala Lumpur baru-baru ini, rupa-rupanya Rasyidah sudah 11 tahun berkecimpung dalam dunia kewartawanan. Kemudian, barulah empunya diri diberi kepercayaan muncul di kaca televisyen.

“Segalanya bermula dengan satu peluang. Pada mulanya, saya ditugaskan di bahagian Berita Am dan Ekonomi dan kemudiannya barulah ke Berita Mandarin.

“Sekarang sudah memasuki tahun keempat saya bersama Berita Mandarin. Syukur segalanya berjalan lancar. Saya gembira meskipun berbangsa Melayu, tetapi mampu untuk membaca berita bukan dalam bahasa ibunda,“ katanya.

Pekerja tunggal

Rasyidah bertugas sebagai penyampai berita Mandarin bagi saluran RTM TV2.

Secara mata kasar, khususnya bagi yang tidak fasih bertutur dalam bahasa Mandarin, pastinya berasa kagum melihat kebolehan anak kelahiran Pulau Pinang itu bertutur.

Dihujani dengan limpahan ucapan sokongan, Rasyidah mengakui dirinya perlu berusaha lebih gigih untuk meningkatkan penguasaan terutama melibatkan sebutan perkataan.

Ya, mengakui kritikan demi kritikan masih menghala kepadanya, namun beliau tidak mudah mengalah. Sebaliknya, segala teguran akan dijadikan sebagai pembakar semangat untuk meningkatkan kemahiran dan ‘menaik taraf‘ diri sendiri.

“Kata-kata orang itu satu hal yang sukar untuk dielakkan lebih-lebih lagi apabila sudah muncul di hadapan televisyen. Mustahil untuk menghalang mereka daripada terus ‘bercakap-cakap‘ lebih-lebih lagi saya sedang bekerja di pusat perhatian (media).

“Segala pujian saya ucapkan terima kasih, manakala komen yang berbaur perkauman atau menjatuhkan semuanya diabaikan kerana boleh dikatakan 90 peratus memberikan reaksi positif,“ tutur lembut wanita itu seraya ketawa kecil.

Mendengarkan butir bicaranya, terlintas di fikiran penulis, adakah salah bagi seorang berbangsa Melayu ingin menyampaikan berita berbahasa Mandarin? Bukankah ada sahaja individu daripada bangsa lain menjadi penyampai berita atau pengacara program berbahasa Melayu? Ah! Warganet memang serba-serbi tidak kena.

Kembali menceritakan ‘susur-galur‘ bagaimana beliau memilih SJKC Hwa Aik di Arau, Perlis sebagai pendedahan awalnya dalam bahasa Mandarin, Rasyidah berkongsi cerita: “Pada usia lima tahun, saya menghadiri kelas piano. Ketika itu rata-rata pelajar lain merupakan kanak-kanak berbangsa Tionghoa. Disebabkan keinginan untuk menghapuskan jurang komunikasi, saya nekad untuk ke SJKC tanpa berfikir panjang.“

Mujur kehendak tersebut tidak dibantah oleh orang tua. Tidak dinafikan sebagai ibu dan bapa, keraguan itu timbul, namun mereka akur dengan permintaan anak kesayangan.

“Ya, betul. Ibu dan bapa saya memang terkejut kerana tiada sesiapa dalam ahli keluarga kami yang pernah mendapat pendidikan dari SJKC. Masa mula-mula belajar, memang sukar dan mencabar terutama jadual pembelajaran yang padat.

“Saya perlu menghadiri banyak kelas tuisyen, kelas muzik dan sekolah agama. Apa yang lucu, ketika sekolah menengah, saya pernah berpura-pura mengatakan dibuli oleh rakan, walhal saya tidak mahir untuk menjawab peperiksaan.

“Sesungguhnya, sokongan keluarga banyak membantu dan akhirnya saya berjaya menempuh segala cabaran sehinggalah ke hari ini. Sekarang saya merupakan pekerja tunggal berbangsa Melayu di antara 13 orang kakitangan bahagian Berita Mandarin,“ luahnya teruja.

Nasionalisme

Biarpun sudah sekian lama mahir bertutur bahasa Mandarin, namun Rasyidah akui beliau masih perlu banyak belajar dan perbaiki.

Pun demikian, situasi itu bukanlah satu tiket untuknya ‘terbang berkepak‘ dan menilai diri lebih hebat berbanding orang lain.

Kelebihan yang ada itu sentiasa membuat Rasyidah semakin mencintai negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan bangsa.

Kepentingan pendidikan bahasa ketiga khususnya buat golongan belia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan pada masa hadapan, ungkap personaliti televisyen berbakat itu.

“Namun, bukan sekadar bahasa Mandarin atau Tamil sahaja, bahasa Inggeris juga perlu dikuasai agar kita dapat meluaskan cabang pengalaman dan berkomunikasi dengan mereka dari serata dunia,“ jelas Rasyidah saat meluahkan pandangannya.

Bukan sahaja dirinya, waima sesiapa sahaja yang memiliki kelebihan linguistik akan disenangi ramai. Apabila suasana sebegitu wujud, kepelbagaian kaum yang dimiliki oleh Malaysia benar-benar terasa.

“Tidak bersandarkan kepada bahasa semata-mata, tetapi perilaku saling bertolak ansur dan memahami budaya antara satu sama lain membuatkan Malaysia menjadi salah satu negara Asia Tenggara yang luar biasa,” tuturnya penuh semangat.

Iklan

Ketika berbicara tentang hal berkenaan, ingatan kami tiba-tiba serentak teringat tentang sebuah video tular di aplikasi TikTok pada tahun lalu yang mempamerkan seorang wanita yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Mandarin dan Tamil.

Kemahiran itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan ramai tercengang. Individu itu telah menerima pujian melambung daripada warga maya apabila menyaksikannya berbual dengan orang ramai dengan bahasa berbeza-beza.

Disebabkan masyarakat yang semakin sedar akan manfaat polyglot (penutur pelbagai bahasa), Rasyidah mengatakan dirinya sering dijadikan ‘kaunter pertanyaan‘ terutama bagi rakan-rakan yang ingin menghantar anak ke SJKC.

Seperkara yang dirisaukan pastinya berkenaan makanan halal. Menjawab pertanyaan itu, Rasyidah memberi penjelasan.

“Bagi saya, lebih baik membawa bekal atau membelinya sebelum tiba ke sekolah. Berbanding dulu, saya hanya makan sebungkus roti krim pada waktu rehat jika tidak membawa bekal.

“Mungkin ada rakan-rakan yang peka tentang soal halal dan haram dalam bab pemakanan. Jadi, bagi mengelak keraguan, lebih baik membawa (bekal) sendiri,“ syornya.

Transisi berat badan

Pernah memiliki berat badan lebih 90 kilogram, Rasyidah tekad untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Kepada SinarPlus, Rasyidah sempat menceritakan pengalaman beliau berkunjung ke salah sebuah butik untuk membeli ceongsam.

Ketika itu berat badannya mencecah 93 kilogram. Sebaik memasuki ke dalam premis tersebut, beliau lantas bertanyakan sama ada boleh mencuba beberapa pakaian yang ada atau tidak.

Rasyidah menceritakan reaksi pekerja tersebut yang bertutur dalam bahasa Mandarin: “Wanita itu menjelaskan tiada saiz sesuai untuk saya. Kemudian pekerja tersebut bertanyakan dengan rakan sekerjanya sama ada saya boleh mencuba atau tidak.

Iklan

“Rakan sekerjanya membalas dengan melarang saya untuk mencuba sebarang pakaian kerana bimbang akan koyak atau rosak. Selepas itu, saya cuba membelek-belek beberapa baju, kemudian mula bercakap Mandarin dengan mereka.“

Berasa bertuah kerana memahami bahasa tersebut, pengalaman ringkas yang berlaku 10 tahun lalu itu, sesungguhnya memberi banyak pengertian.

Selain soal bahasa, kejadian tersebut juga telah menjentik nalurinya untuk menurunkan berat badan.
Justeru, langkah awal yang dilakukan Rasyidah adalah dengan cara mengawal pengambilan makanan berlebihan terutama makanan segera dan minuman tinggi gula.

“Senaman merupakan hal yang penting dan perlu diberi perhatian. Setelah mengamalkan diet seimbang, saya akan melakukan aktiviti mengeluarkan peluh dengan cara berjalan kaki atau menaiki tangga. Pernah suatu ketika saya menaiki tangga setinggi 14 tingkat.

“Setiap hari saya makan tidak melebihi 1,000 kalori, manakala selepas pukul 4 petang tidak akan mengambil sebarang makanan lain kecuali minum air putih atau sekeping roti putih,“ ujarnya.

Tegas Rasyidah, paling penting keazaman untuk menjalani kehidupan sihat dan bebas penyakit menguatkan lagi dirinya untuk mendapatkan berat badan ideal.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mengalah atau kecewa sekiranya berat lambat turun .

“Kuatkan mental dan fizikal. Yakin, bersabar dan jangan mudah mengalah. Paling penting jangan buat kerja separuh jalan,“ nasihatnya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram