SELEPAS beberapa tahun menyimpan hasrat untuk menceburi bidang perniagaan menerusi jenamanya sendiri, penyanyi Khai Bahar akhirnya berjaya merealisasikan impian tersebut.

Memilih perniagaan berkaitan produk pelangsingan badan, Khai atau nama penuhnya Muhammad Khairul Baharuddin, 27, lega apabila segala perancangan dan usaha yang dilakukan setahun lalu itu kini menjadi kenyataan menerusi pelancaran KSlimz.

Menurut penyanyi yang dikenali menerusi lagu Bayang itu, dia memberanikan diri menceburi bidang perniagaan setelah mendapat ilmu dan tunjuk ajar daripada rakan-rakannya yang berjaya dalam bidang itu.

“Sebelum ini ramai yang ajak saya buat bisnes, tetapi ketika itu saya kurang yakin kerana tidak mempunyai ilmu dan pengalaman dalam bidang itu.

“Bagaimanapun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, saya mula belajar tentang bisnes daripada rakan-rakan yang berjaya dalam bidang ini.

“Bila dah ada ilmu itu, barulah saya yakin untuk mulakan langkah dan berani keluarkan modal untuk buat bisnes,” katanya ketika sidang media pelancaran KSlimz secara virtual baru-baru ini.

Tambah Khai, idea memperkenalkan produk KSlimz tercetus apabila ramai yang berkongsi cerita mengalami masalah berat badan mendadak sepanjang PKP lalu dan cuba mencari penyelesaian untuk masalah tersebut.

“Apabila ramai yang berkongsi tentang masalah berat badan, saya dapat idea untuk membantu mereka dengan memperkenalkan KSlimz iaitu produk pelangsingan dalam bentuk minuman coklat yang mampu menurunkan berat badan.

“Saya sendiri sebelum ini mengalami kenaikan berat badan yang mendadak ketika PKP sehingga 67 kilogram (kg), tetapi berjaya turun semula ke berat badan ideal selepas menggunakan produk ini.

“Saya tidak kisah jika ada yang beranggapan saya menggunakan populariti untuk bisnes ini, tapi apa yang pasti saya mempunyai misi membantu orang ramai yang ingin menurunkan berat badan mereka” katanya.

Tidak gentar dengan cabaran dalam bidang perniagaan yang baru diceburinya itu, Khai berkata, dia sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan percaya dengan usaha serta kesungguhannya untuk berjaya.

Malah, anak kelahiran Perlis itu juga berani mengeluarkan modal berjumlah RM50,000 daripada wang simpanannya selama bergelar artis untuk tujuan itu.

Iklan

“Modal memulakan perniagaan ini adalah sepenuhnya daripada wang simpanan saya selama bergelar penyanyi.

“Alhamdulillah, mujur saya mempunyai sedikit simpanan kerana sejak awal menceburi bidang seni, saya sudah menyimpan dan sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja demi masa depan,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terkininya, Khai berkata, dia kini dalam proses mengumpul material untuk penghasilan album mini berkonsepkan ketuhanan sempena Ramadan akan datang.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan tampil dengan beberapa projek khas sempena Ramadan nanti.

Iklan

“Antaranya ialah untuk menghasilkan album mini yang memuatkan lagu-lagu ketuhanan.

“Persiapan sudahpun bermula dan saya harap semuanya akan berjalan lancar nanti,” ujar Khai yang baru sahaja tampil dengan single Durja.       

 

(FOTO: Instagram Khai Bahar)