SELEPAS berjaya membina nama dalam bidang lakonan, pelakon Oktovia Manrose melangkah setapak lagi apabila memberanikan diri mengetengahkan bakatnya dalam nyanyian.

Jika selama ini dia hanya merakamkan lagu ‘filler’ untuk beberapa produksi drama yang dikenalinya, kini Oktovia atau nama lengkapnya Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, 30, buat pertama kalinya tampil dengan single kolaboratif bersama kumpulan Bimasakti.

Single terbitan Life Records berjudul Biar Aku Simpan yang dilancarkan pada 5 Mac lalu itu dianggap sebagai pengenalan buatnya sebagai penyanyi.

“Peluang ini diberikan oleh salah seorang anggota Bimasakti sendiri iaitu Jim. Memang tak sangka dia tawarkan peluang ini.

“Jim sendiri bukan asing kerana sudah menerbitkan lagu untuk ramai artis seperti Khai Bahar, Sheryl Shazwanie dan Azzam Sham.

“Sebenarnya saya selalu merakamkan lagu demo untuknya. Jadi lamaran untuk membuat penampilan dalam lagu itu, saya sahut dengan optimis.

“Saya sendiri menyukai bahagian korus lagu itu yang sangat melankolik,” katanya yang turut membuat penampilan dalam muzik video lagu tersebut.

Dalam masa samaa, Oktovia yang juga anak kepada penyanyi dangdut popular era 1990an, Iwan, tidak menolak sekiranya diberi peluang untuk tampil secara solo pula selepas ini.

“Saya anggap kolaboratif bersama Bimasakti sebagai pemanas enjin. Selepas ini baru yakin sedikit nak menyanyi solo.

Iklan

“Menyanyi adalah minat saya sejak sekian lama. Sebenarnya dulu saya ada peluang menyanyi, cuma ketika itu tak nak terburu buru kerana rasa belum bersedia.

“Saya tak mahu menyanyi macam melepaskan batuk di tangga. Biarlah ada ilmu atau serap pengalaman orang lain, baru saya berani keluar dari zon selesa.

Iklan

“Menerusi projek kolaborasi dengan kumpulan ini pun, saya banyak timba pengalaman dan belajar tentang muzik,” katanya yang meminati genre hip hop, R&B, pop balada.

Meskipun begitu ibu tunggal kepada seorang anak itu mengakui bidang lakonan masih tetap menjadi keutamaannya.

Malah Oktovia yang bernaung di bawah pengurusan Absolut Talent & Management, ketika ini berada di Pulau Langkawi, melunaskan baki penggambaran drama Hari Kita Jatuh Cinta terbitan Zeel Production untuk siaran Awesome TV.