DALAM debarannya menanti kelahiran cahaya mata pertamanya tidak lama lagi, pelakon dan penyanyi Fattah Amin tampil dengan single terbaharunya, Kiriman Agung.

Menariknya, karya ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik bersama Fedtri Yahya yang berkonsepkan Islamik itu didedikasikan khas buat bakal zuriat yang bakal menjadi penyeri kehidupannya bersama isteri, Nur Fazura.

Menurut pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin, 30, Kiriman Agung merupakan percubaan pertamanya menyanyikan lagu berkonsepkan ketuhanan.

“Lagu ini adalah hadiah buat anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi, Insya-ALLAH.

“Ia lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriat yang bakal dilahirkan,” ujarnya.

Tambah Fattah lagi, idea dan konsep keseluruhan lagu tersebut datang daripada dirinya sendiri.

“Saya bagi direction kepada Hafiz dan Fedtri untuk buat lagu ini dan ceritakan pada mereka macam mana yang saya mahukan untuk lagu ini.

“Jadi, secara asasnya lagu ini lahir dari hati saya untuk disampaikan pada pendengar,” katanya.

Kelainan dibawa Fattah yang pertama kali berkarya dalam genre ini menjadikan Kiriman Agung sebagai satu ekperimentasi yang terbaik untuk dikongsi dengan pendengar dan peminat setianya.

“Selepas single terdahulu, Bebas, mengangkat tema semangat dan inspirasi, saya terfikir nak buat lagu ketuhanan pula iaitu genre yang belum pernah saya buat.

“Saya sampaikan idea ini pada Universal Music Malaysia dan ketika itu saya terfikir kenapa tidak buat lagu yang kena dengan keadaan saya sekarang yang bakal bergelar bapa,” jelasnya.

Berkongsi tentang proses rakaman lagu tersebut, kata Fattah, ia merupakan satu pengalaman baharu yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini.

“Proses rakamannya agar sukar buat saya kerana ia merupakan percubaan pertama menyanyikan lagu bergenre sebegini.

“Bagaimanapun, semuanya berjalan lancar atas tunjuk ajar dan bimbingan penuh daripada penerbit.

Iklan

“Kami sama-sama berusaha memberikan yang baik dalam menghasilkan lagu ini. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya,” katanya.

Dalam pada itu, Fattah meletakkan harapan tinggi agar single terbaharunya itu dapat diterima baik pendengar muzik tanah air.

“Saya sudah buat yang terbaik, jadi saya harapkan yang terbaik juga daripada pendengar.

“Daripada komen saya baca setakat ini, ramai yang memberikan maklum balas positif, sekali gus membuatkan saya gembira. Ternyata genre seperti ini sebenarnya masih ada peminat dan pendengar.

Iklan

“Saya juga terharu apabila mereka juga doakan yang baik-baik buat saya dan zuriat yang bakal dilahirkan nanti,” katanya yang masih dalam perancangan untuk menghasilkan muzik video muzik lagu tersebut.

Single Kiriman Agung yang diedarkan oleh Universal Music Malaysia itu kini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music mulai 11 September lalu.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)