PENYANYI dan komposer terkenal, Ajai, mendapat kecaman ramai gara-gara memberikan kritikan pedas kepada salah seorang peserta program Big Stage 2020 malam tadi.

Ajai yang juga merupakan salah seorang juri tetap program terbabit memberi komen terhadap nyanyian Hafiz Zainal yang dikatakan sumbang ketika membuat persembahan menerusi lagu Fly Me To The Moon.

“Make sure bila sumbang tu, jangan sambung balik key yang itu. Biar awak diam pun tak apa. Sampai awak dapat the right key. Lagi nampak cantik, atau pengsan lagi best,” ujar Ajai.

Malah komposer itu juga hanya memberikan 2 peratus (%) daripada 100 markah kepada peserta terbabit. Jumlah markah yang dikatakan paling rendah sepanjang penganjuran program Big Stage yang kini memasuki musim ketiga.

Tindakan Ajai itu telah menyebabkan ramai netizen tidak berpuas hati dan meluahkan rasa kurang senang sehingga insiden tersebut trending di Twitter dengan pelbagai hashtag diwujudkan. Rata-ratanya tidak bersetuju dengan cara Ajai memberikan komen yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Selain Ajai, dua lagi juri tetap yang mengadili Big Stage 2020 ialah Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir, selain Hael Husaini sebagai juri jemputan.

Iklan

Biarpun berada pada kedudukan tiga terbawah, Hafiz bagaimanapun terselamat apabila tiada penyingkiran yang dilakukan pada minggu pertama konsert.

Iklan

Peserta lain yang turut bertanding ialah Azzam Shah, Usop, Sandra Dianne, Hanie Soraya, Qody Rani, Dinie Rashid, Fadh Majid, Farisha Iris, Yamani Abdillah, Nana Sheme dan Amir Hassan.

Big Stage 2020 yang dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry AlHadad disiarkan secara langsung pada setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria.