VOKALIS kumpulan Noah, Ariel menerima pujian netizen Indonesia apabila memberi penjelasan mudah mengenai Covid-19 dan vaksin.

Menurut Ariel, orang ramai disaran untuk mengambil vaksin bukan hanya sekadar bagi melindungi diri sendiri, tetapi juga bagi memastikan virus tersebut tidak disebarkan kepada orang lain.

“Ini menurut doktor ya, saya ceritakan. Bila virus Covid masuk dalam badan, antibodi kita tidak mengenal virus itu.

“Jadi badan kita lambat menghasilkan antibodi untuk melawan virus itu dan menyebabkan virus itu merebak dalam cepat dalam tubuh kita.

“Kalau selsema, badan kita sudah kenal, jadi ada antibodi untuk melawannya.

“Kalau sudah ada vaksin, ia membantu membina antibodi dengan cepat untuk melawan. Jika dijangkiti, ia mungkin tidak melarat dan paling penting tidak menyebarkan virus itu kepada orang lain.

Ariel berkongsi pandangannya bersama Sule di Sule Channel.

“Jadi bila kita ambil vaksin, kita bukan hanya melindungi diri kita, tetapi dapat melindungi orang lain yang mungkin tidak boleh mengambil vaksin kerana faktor kesihatan,” katanya menerusi temu bual bersama pelawak, pengacara. penyanyi dan pelakon Sule di saluran YouTube, Sule Channel.

Iklan

Penjelasan mudah Ariel itu mendapat pujian dan merasakan Ariel lebih layak bercakap mengenai isu vaksin berbanding pengacara Raffi Ahmad.

Ariel sebelum ini menjadi antara 10 individu terawal menerima vaksin di Bandung, Indonesia pada pertengahan Januari lalu.

Iklan

Dia memberitahu tidak menerima kesan sampingan dan merasakan tidurnya kini lebih nyenyak.