SETELAH tertangguh akibat penularan virus Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),  Konsert 4G’s akan diteruskan pada 11 dan 12 Disember ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.

Konsert tersebut akan memperlihatkan gabungan hebat empat penyanyi lelaki terkenal iaitu Akim, Hazama, Tomok dan Black.

Menurut penganjur Belbis Sdn. Bhd, pihak mereka akan mengikut ketat prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi menjayakan konsert tersebut.

“Kami hanya perlu memenuhkan 450 tempat duduk dalam Istana Budaya untuk setiap malam, dua malam persembahan dan berkemungkinan akan ditambah kepada satu malam lagi namun ia bergantung kepada keadaan dan perlu mengikuti SOP ketat yang telah ditetapkan,” ujar wakil penganjur konsert dalam satu kenyataan.

Berpengalaman menganjurkan beberapa konsert terdahulu seperti Romansa Kris Dayanti, dan M. Nasir Sang Pencinta, pihak Belbis yakin pemilihan Black, Hazama, Tomok dan Akim untuk dua malam persembahan akan menjanjikan hiburan berbaloi dengan harga tiket yang dibayar penonton.

“Idea menggabungkan empat atau tiga vokalis dalam sesebuah konsert memang tidak asing, tetapi repertoirnya masih fokus terhadap persembahan solo setiap artis, cuma ada segmen duet beramai-ramai. Itu pun tidak banyak.

“Untuk 4G’s, konsepnya lebih terhadap penyatuan keempat-empat penyanyi dalam setiap lagu, semacam quartet dengan keunikan karakter pada setiap penyanyi. Persembahan solo tetap ada, tetapi dalam segmen awal sahaja.

“Keempat-empat penyanyi ini juga akan melancarkan satu single terbaharu yang menyaksikan penyatuan suara mereka pada awal Disember ini dan lebih istimewa mereka akan mendendangkannya buat pertama kali menerusi Konsert 4G’s,” katanya.

Iklan

Sebagai kelainan yang dijangka menyuntik kesegaran bahkan menambahkan aura empat sekawan 4G’s, Black, Hazama, Tomok dan Akim kini tidak sabar lagi mahu menrealisasikan konsert tersebut setelah sekian lama tergendala.

Sesuatu yang jarang berlaku, single yang pertama kali menyatukan empat suara anak jantan industri muzik tempatan itu dijangka akan dilancarkan pada awal Dec 2020 dan lebih istimewa menjadi hiburan bonus buat penonton Konsert 4G’s.

Bermula 15 Oktober lalu, peminat sudah boleh mendapatkan tiket melalui airasiaredtix.com.

Iklan

Untuk pertanyaan dan sebarang informasi  mengenai konsert atau tiket peminat boleh menghantar masej (DM) kepada Instagram @konsert4gs atau @belbisproductions