LUAR BIASA! Dua patah perkataan itu sudah cukup untuk menggambarkan Konsert 30 Years of Dewa 19 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Dimeriahkan lagi dengan kehadiran 18, 000 baladewa dan baladewi (gelaran buat peminat setia Dewa 19) pada malam pertama dan kedua, lebih indah lagi, kumpulan itu menampilkan barisan vokalis baharu dan lama terdiri daripada Ari Lasso, Once Mikel, Virzha serta yang terkini, Ello.

DEWA 19
9, 000 peminat membanjiri Axiata Arena pada hari pertama dan 9,000 lagi pada hari kedua.

Ahmad Dhani juga tidak ketinggalan menyampaikan beberapa buah lagu seperti Cinta Gila dan Sedang Ingin Bercinta.

Konsert yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 10 September, ditambah sehari lagi kepada 9 September atas sambutan hangat peminat yang sudah lama menantikan kehadiran mereka kembali ke Malaysia.

DEWA 19
Sambil bermain electronic keyboard, Ahmad Dhani turut menyampaikan lagu Cinta Kita dan Sedang Ingin Bercinta.

Hadir dalam rangka Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19, kumpulan yang sudah memulakan jelajah mereka di beberapa kota di Indonesia dan turut memilih Malaysia dalam rangka jelajah mereka.

Ahmad Dhani turut mengotakan janjinya untuk mempersembahkan 30 lagu sempena merayakan ulang tahun ke-30 penubuhan mereka.

Mantap

Peminat sudah berkumpul di perkarangan stadium sejak petang lagi biarpun hujan tidak menunjukkan ­tanda-tanda untuk berhenti dan pihak penganjur membenarkan peminat untuk masuk lebih awal ke Axiata Arena.

Biarpun setia menunggu lama, Dewa 19 muncul tepat jam 8.40 malam selepas lagu Negaraku dimainkan.

DEWA 19
Kemunculan Ello (kiri) dan Virzha turut mengamatkan konsert dengan vokal mantap mereka.

Memulakan persembahan dengan lagu Format Masa Depan, penyanyi baharu mereka, Ello bersama Virzha kemudiannya bergandingan menyampaikan lagu Restoe Boemi, I Want To Break Free dan Still I Am Sure We’ll Love Again.

Ahmad Dhani yang merupakan ­pengasas­ Dewa 19 kemudiannya mengambil alih pentas, menyapa peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepada kumpulan itu sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1992.

“Malaysia apa khabar? Senang sekali Dewa 19 dapat datang ke sini.

“Malam ini kami tidak menyanyikan 30 buah lagu, sebaliknya hampir 40 lagu untuk semua.

“Jadi buat yang masih belum meminati Dewa 19, anda tunggu sehingga ke habis konsert ini (untuk jatuh hati dengan Dewa 19),” katanya di sambut jeritan peminat.

DEWA 19
Ahmad Dhani turut berduet bersama Once.

Persembahan diteruskan dengan seleksi lagu-lagu popular Dewa 19 yang dinyanyikan Virzha dan Ello seperti Juliette, Aspirasi Putih, Takkan Ada Cinta Yang Lain, Bayang-Bayang, Selatan Jakarta, Bunga, Aku Milikmu dan Larut.

Memasuki segmen kedua tepat jam 10 malam, suasana menjadi semakin gamat dan meriah apabila Once muncul di pentas bagi mempersembahkan ­lagu-lagu nyanyiannya.

Memilih lagu Roman Picisan sebagai lagu pembuka, Once terus membakar andernalin peminat menerusi seleksi lagu popularnya ketika bersama Dewa 19 seperti Arjuna, Dewi, Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia, Dua Sejoli, Lagu Cinta dan Mistikus Cinta.

“Selamat malam Malaysia. Senang sekali jumpa anda malam ini.

Iklan

“Malam ini adalah malam terbaik, semoga anda semua enjoy!” kata Once.

DEWA 19
Meskipun sudah memasuki usia 52 tahun, Once masih mampu memberikan persembahan bertenaga.

Mesra

Memasuki segmen akhir persembahan, vokalis asal Dewa 19, Ari Lasso meluahkan rasa terharu dengan sokongan peminat.

“Kalau bukan disebabkan sokongan daripada kalian, kami tidak akan jadi seperti hari ini,” kata Ari Lasso.

DEWA 19
Terharu dengan sokongan peminat, Ari Lasso sempat merakamkan saat baladewa dan baladewi (gelaran buat peminat setia Dewa 19) menyanyikan lagunya bersama.

Antara lagu-lagu lain yang sempat dipersembahkan pada hari pertama ialah Cinta Kan Membawaku Pergi, Aku Di Sini, Satu Hati, Cukup Siti Norbaya, Pangeran Cinta, Risah Hati, Satu, Cemburu, Pupus, Kirana, Kangen dan Kamulah Satu-Satunya.

Berlangsung hampir empat jam, Dewa 19 kemudiannya melabuhkan tirai dengan menjemput keempat-empat vokalis untuk sama-sama menyampaikan lagu penutup, Separuh Nafas.

Ketika nyanyian lagu terakhir itu, belon besar dilepaskan ke udara bagi menambahkan lagi warna-warni terhadap persembahan band yang berasal dari Surabaya itu.

Iklan

DEWA 19

Bukan hanya seleksi lagu yang menarik, sistem bunyi dan video yang hebat juga telah menjadikan konsert Dewa 19 luar biasa.

Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan, konsert ini lebih berbaloi untuk ditonton berbanding konsert artis ternama antarabangsa bulan lalu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.