PROGRAM nyanyian Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) akan diteruskan seperti yang dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, keputusan itu diambil bagi mematuhi garis panduan dan syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak berkuasa sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor dari 14 hingga 27 Oktober ini.

“Penganjuran dua buah konsert mingguan yang kebetulan jatuh ketika tempoh fasa PKPB sedang berlangsung iaitu konsert minggu kedua pada 18 Oktober dan minggu ketiga pada 25 Oktober ini akan tetap bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) seperti biasa.

“Namun begitu, hanya krew produksi dan tenaga kerja yang berdaftar sahaja akan dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada satu-satu masa.

“Sebarang perubahan mengenai penganjuran untuk konsert minggu keempat dan seterusnya akan diumumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan situasi semasa wabak Covid-19 serta kelonggaran yang diberikan oleh pihak berkuasa, sekiranya ada.

Iklan

“Teruskan menyokong program-program terbitan Astro sepanjang tempoh PKPB berlangsung. Semoga perasaan gusar dan bimbang mengenai keadaan semasa yang membimbangkan ini akan sedikit terubat dengan kemeriahan konsert ‘GV7’ walaupun bersiaran dalam norma baharu.

“Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada semua terutamanya pihak media yang terus memberikan sokongan tanpa henti kepada kami selama ini. Tanpa anda semua, fenomena ‘GV’ tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

GV 7 bersiaran secara langsung dari PICC selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam dan disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Ria 104 dan Ria HD (saluran 124).