KONSERT Satu Suara Volume 3 berlangsung sukses di Mega Star Arena Sungei Wang Plaza pada Sabtu lalu dengan menyaksikan gabungan tiga penyanyi yang mempunyai golongan peminat tersendiri.

Pada edisi ketiga itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih untuk berkongsi pentas dengan dua penyanyi dari era berbeza iaitu Jay Jay yang cukup popular pada era 1970-an, manakala Ernie Zakri mewakili generasi tahun 2000-an.

Tampil menyanyikan seleksi lagu terbaik masing-masing, persembahan selama dua jam di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Aubrey Suwito itu hangat dengan sorakan dan nyanyian bersama daripada peminat yang rata-ratanya terhibur lagu-lagu yang dinyanyikan meski dari era berbeza.

Selepas persembahan pembukaan, segmen pertama menyaksikan Siti Nurhaliza tampil menyampaikan nyanyian solo menerusi lagu-lagu popularnya seperti Situ Sana Sini, Kesilapanku Keegoanmu dan lain-lain.

Lebih istimewa Siti secara eksklusif turut menyampaikan single terbaharunya, Sehebat Matahari, sebuah karya ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Rozi Sang Dewi yang bakal dimuatkan dalam terbaharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Persembahan diteruskan dengan penampilan Jay Jay yang ternyata mempunyai aura tersendiri menerusi lagu-lagu yang pernah menaikkan namanya seperti Dendangan Laguku, Cukuplah Sekali, Belaian Jiwa dan Rindu Bayangan.

Sementara Ernie pula tampil dengan lagu-lagu seperti Ku Bersuara, Korban dan Boneka.

Tidak ketinggalan tiga penyanyi itu turut menghiburkan penonton dengan persembahan duet dan trio menerusi beberapa buah lagu termasuk rangkaian lagu raya sebagai penutup tirai persembahan.

Bukan sekadar hiburan semata-mata, konsert anjuran Siti Nurhaliza Productions (SNP) bersama Yayasan Nurjiwa milik Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu bertujuan mengumpul dana untuk meneruskan usaha amal dan kebajikan yayasan terbabit.

Siti ketika ditemui selepas persembahan tersebut meluahkan rasa syukur dengan kejayaan konsert tersebut yang sekali lagi mendapat sokongan penuh daripada peminat serta mencapai sasaran kutipan dana untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan dan anak-anak di Gaza, Palestin.

“Alhamdulillah apa yang kita atur dan rancang untuk konsert kali ini dapat diterjemahkan dengan baik sekali. Bukan sahaja daripada barisan penyanyi terlibat, tetapi juga oleha Aubrey selaku pengarah muzik.

“Apa yang lebih penting, selain berhibur saya mahu orang tahu persembahan yang kita buat ini adalah bagi mengumpul dana Yayasan Nurjiwa membantu mereka yang memerlukan bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Gaza,” ujarnya turut menzahirkan rasa terima kasih kepada syarikat-syarikat korporat serta orang perseorangan yang turut menyalurkan sumbangan.

Sokongan peminat

Mengulas mengenai kejayaan konsert tersebut, penyanyi Anta Permana itu mengakui gandingannya bersama Jay Jay dan Ernie turut memberi kelainan pada konsert kali ini.

Menyifatkan dua penyanyi tersebut mempunyai tarikan tersendiri buat penonton, Siti gembira apabila masing-masing tampil dengan persembahan terbaik mereka.

“Pilihan penyanyi untuk konsert edisi kali ini memberi kelainan kepada penonton. Persembahan Jay Jay dengan lagu-lagunya yang malar segar dilihat begitu menarik perhatian, selain Ernie dengan kelebihannya yang tersendiri.

“Jadi gabungan kami bertiga pada satu pentas adalah pilihan yang tepat dan saya gembira dengan sambutan penonton,” akuinya.

Iklan

Ditanya adakah edisi terbaharu konsert tersebut akan dirancang dalam masa terdekat rentetan kejayaan yang perolehi pada Konsert Satu Suara Vol. 3 itu, Siti mempunyai jawapannya sendiri.

Tidak mahu membebankan peminat dengan pembelian tiket yang berturut-turut, Siti mahu memberi sedikit jarak sebelum merancang untuk tampil dengan konsert terbaharu.

Apatah lagi, dia juga mempunyai pelbagai perancangan lain yang sedang diatur dala kerjayanya termasuk konsert solo yang akan diadakan pada tahun depan.

“Penjenamaan Konsert Satu Suara akan berterusan, tetapi dalam masa saya juga mempunyai perancangan lain termasuk konsert solo.

“Saya akui tidak boleh memaksa peminat untuk terus beli dan beli tiket konsert saya. Sebaliknya saya perlu berlaku adil pada mereka. Jadi saya kena buat perancangan betul-betul.

Iklan

“Insya-ALLAH konsert solo saya akan diadakan pada tahun hadapan, selain beberapa lagi persembahan istimewa saya yang akan diumumkan nanti,” tegasnya.

Pada Konsert Satu Suara Vol. 1, Siti bergabung dengan Faizal Tahir dan Aizat Amdan, manakala Vol. 2 pula menyaksikan beliau berpadu suara dengan dua legenda iaitu Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang.

(FOTO: ASRIL ASWANDI & INSTAGRAM SITI NURHALIZA)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi