Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan kontrak Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi itu tamat berkuat kuasa 1 Jun (hari ini).

Finas dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut adalah berikutan langkah penstrukturan semula agensi terbabit.

“Penstrukturan semula itu akan melibatkan penjajaran semula atau recalibration ke atas dasar, program dan aktiviti industri kreatif, terutamanya industri perfileman.

“Malah lnisiatif ini diharap dapat membantu penggiat filem Malaysia menghasilkan filem-filem berkualiti yang mempunyai nilai pasaran tempatan dan antarbangsa yang tinggi,” katanya.

Kenyataan sama turut menyebut, dalam tempoh interim itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas, Rozita Waty Ridzuan, akan menjalankan tugas CEO berkuatkuasa 1 Jun sehingga jawatan tersebut diisi.

Dalam pada itu, Finas turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Md Nasir atas sumbangan beliau sepanjang berkhidmat bersama badan itu.

“Finas ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dr. Md. Nasir Ibrahim atas segala sumbangan dan jasa bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas bermula 1 November 2021 sehingga 31 Mei lalu.

“Selamat maju jaya dan semoga beliau dapat meneruskan kecemerlangan dalam apa jua bidang dan organisasi yang bakal diceburi kelak,” katanya.

Terima surat

Sementara itu, Dr. Md Nasir turut mengesahkan penamatan kontrak beliau sebagai CEO Finas pada 31 Mei.

Iklan

“Untuk makluman, pada Rabu saya telah menerima surat pemendekan kontrak saya sebagai CEO Finas dan ia berkuat kuasa mulai 1 Jun.

“Surat itu tidak menyatakan alasan pemecatan. Sehubungan itu, sebuah sidang akhbar akan diadakan oleh saya pada Khamis,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Terdahulu pada 31 Oktober 2021, Dr. Md Nasir dilantik sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November hingga 30 Oktober 2023.

Iklan

Pelantikan itu bagi menggantikan jawatan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir 15 Oktober 2021.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi