DUA penyanyi hebat dari Indonesia dan Malaysia, Krisdayanti dan Noryn Aziz bakal bergabung pada satu pentas sama menghiburkan para peminat mereka menerusi sebuah persembahan istimewa.

Konsert Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia anjuran Aco Media dan Asia Momentum Media (AMM) itu akan berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pada 29 Oktober depan.

Kedua-dua penyanyi mempunyai reputasi mereka yang tersendiri dalam industri muzik sejak beberapa dekad lalu.

Wakil penganjur, Belvas Lee berkata, pihaknya percaya gandingan tersebut mampu memberikan persembahan luar biasa pada konsert itu nanti.

“Konsert ini merupakan ‘customize concert’. Bagi kami, Kris Dayanti merupakan diva di Indonesia manakala Noryn Aziz pula diva kesayangan ramai di Malaysia.

“Kami percaya bahawa kolaborasi dua diva ini akan menggegarkan pentas dan pastinya ada kejutan-kejutan yang bakal diberikan kepada para peminat mereka nanti.

“Jadi jangan lepaskan peluang menyaksikan dua diva ini beraksi di sebuah pentas,” ujarnya.

Iklan

Kris Dayanti yang popular dengan lagu Menghitung Hari itu kali terakhir muncul membuat persembahan di Malaysia pada lima tahun lalu dan pasti kehadirannya kali ini dinantikan para peminat.

Sementara Noryn Aziz yang cukup dikenali dengan muzik jazz dan R&B serta juara Gegar Vaganza musim kelima itu sudah lama tidak tampil bertemu peminatnya di pentas berskala besar.

Iklan

Konsert Kris Dayanti & Noryn Aziz: Duo Diva Live In Malaysia bakal menyaksikan kedua-duanya mempersembahkan seleksi lagu hits mereka yang pernah menjadi siulan sebelum ini, selain persembahan duet yang pastinya bakal memberikan energi berbeza pada konsert tersebut.

Tiket-tiket boleh didapati dengan harga RM288, RM488, RM788, RM988 dan RM1,188 (VIP). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web https://www.ticket2u.com.my/ .