Kuku tercabut, badan lebam-lebam, Elizabeth Tan tetap tersenyum

A
A
A

SIAPA sangka, di sebalik wajah cantik dan karakter manja yang ditunjukkan, terselit sisi lasak dalam diri penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan.

Buktinya, wanita berusia 28 tahun itu tidak kekok untuk menjayakan sendiri babak aksi dalam drama terbaharu lakonannya, Gerak Khas Undercover.Menjayakan watak sebagai polis perisik berpangkat Inspektor bernama Elly, Elizabeth yang mesra dengan panggilan Lizzy memberitahu, dia tidak menggunakan pelakon pengganti untuk babak aksi.

“Bila berlakon drama, aksinya tidak keterlaluan seperti filem. Jadi ya, kebanyakan babak saya lakukan sendiri, kecuali melibatkan kaca saya tak berapa berani sangat.

“Kalau berlakon aksi, pasti ada kecederaan. Apa yang saya alami cuma lebam-lebam dan ada kuku tercabut, tetapi sekarang kuku itu dah okay.

“Suami tidak marah saya berlakon aksi, cuma dia kata saya lembik,” ujarnya sambil ketawa ketika ditemui pada sesi sidang media mempromosikan Gerak Khas Undercover baru-baru ini.

Tambah Elizabeth, dia cukup teruja apabila diberi kepercayaan oleh Datuk Yusof Haslam dan Skop Production untuk membawakan watak sebagai Inspektor Elly.

Katanya, selain dapat bergandingan dengan pelakon hebat, dia juga banyak menerima pengalaman baharu dalam dunia lakonan.

“Bila Skop Production tawarkan watak Inspektor Elly ini, saya tidak menunggu lama untuk memberi persetujuan.

“Gembira sangat apabila Datuk Yusof memberi kepercayaan kepada saya untuk membintangi sebuah naskhah yang ikonik seperti ini.

“Datuk Rosyam Nor juga banyak mengajar saya mengenai teknik lakonan dan bagaimana untuk mencipta karakter seperti yang diminta dalam skrip. Saya rasa sangat bertuah dan hargai peluang bekerjasama dengan seorang legenda seperti Rosyam,” katanya.

Rosyam antara pelakon yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang penggambaran Gerak Khas Undercover.

Gerak Khas Undercover bersiaran sebanyak 30 episod di TV3 bermula 1 Oktober lalu, pada setiap Jumaat, jam 10.30 malam. Ia turut disiarkan di platform penstriman iQiyi pada hari sama selepas siaran di TV3.

Beri tumpuan berlakon

Dalam pada itu, ditanya mengenai fokus perjalanan kariernya buat masa ini, selebriti yang mula dikenali menerusi platform YouTube itu mengakui memberi tumpuan terhadap karier lakonan.

Katanya, konflik dalaman melibatkan karier nyanyian membuatkan dia mengalihkan seketika tumpuan terhadap dunia lakonan.

“Susah untuk saya bercakap lanjut mengenai karier nyanyian saya. Apa yang boleh saya katakan, saya sudah ada perancangan untuk tampil dengan single baharu, namun ada beberapa perkara yang belum selesai membuatkan perancangan ini tertangguh.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana banyak tawaran berlakon sekarang dan jadual penggambaran saya sudah penuh sehingga penghujung tahun ini.

“Jadi sementara menunggu konflik karier nyanyian selesai, saya selesa untuk beri tumpuan pada bidang lakonan,” jelasnya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca