KUMPULAN Jago yang terdiri daripada gabungan Chot XOXO, Yus School of Lawak dan Fiza Thomas diumumkan tersingkir pada minggu kedua program Muzikal Lawak Superstar musim kedua (MLS2) yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Persembahan Jago gagal memikat hati juri dan penonton sekali gus mendapat markah paling rendah sebanyak 18.63 peratus (%). Dua lagi kumpulan yang turut berada di tangga terbawah ialah Gojes dan Zuzuzu.

Sementara itu, kumpulan ABC yang dianggotai oleh Chiwan Chilok, Achok Chilok dan Cik B dipilih sebagai penerima anugerah Superstar of The Week.

Kumpulan lain yang turut mara ke persaingan minggu hadapan ialah U.N.I, Puppet, Mashuk, Jborn, Viral, Heart, Stamp, Teruna dan Zombi.

Persembahan kesemua peserta diadili oleh tiga juri tetap iaitu Datuk Awie, Fazura dan Zul Ariffin yang mewakili 50% pemarkahan, manakala 50% lagi daripada undian penonton.

MLS2 menyaksikan 14 kumpulan bertanding yang terdiri daripada barisan pelawak dan selebriti dari pelbagai cabang industri hiburan termasuklah pelakon, penyanyi dan personaliti popular.

Iklan

Masing-masing berentap untuk merebut gelaran juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM150,000.

Program yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein itu disiarkan secara langsung menerusi saluran Warna HD (107) dan Astro Warna (127), setiap Jumaat, jam 9 malam.

Iklan

KEDUDUKAN & MARKAH PENUH PESERTA MINGGU KEDUA

  1. ABC (54.50%)
  2. N.I (45.25%)
  3. Puppet (40.32%
  4. Mashuk (39.33%)
  5. Jborn (35.99%)
  6. Viral (32.96%)
  7. Heart (25.99%)
  8. Stamp (22.52%)
  9. Teruna (22.02%)
  10. Zombi (22.01%)
  11. Gojes (21.16%)
  12. Zuzuzu (19.32%)
  13. Jago (18.63%)

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)