PERJUANGAN Kumpulan Sesah di Awesome Raja Lawak terhenti di minggu kelima apabila diumumkan tersingkir pada minggu kelima, Rabu lalu.

Bertemakan Pekerjaan, keputusan kumpulan Sesah memilih ‘silent comedy’ dalam persembahan ternyata tidak membawa tuah dan gagal memikat hati juri serta penonton di rumah.

Ditanya mengenai pemilihan ‘silent comedy’, anggota kumpulan itu, Mohammad Asyraff Hassan atau Acap berkata, keputusan itu dibuat atas permintaan peminat mereka.

“Sejujurnya konsep persembahan itu untuk peminat kami. Di ruangan komen banyak yang minta kami buat ‘silent comedy’. Mungkin ada kesilapan daripada pihak kami dan kejadian yang tak diingini berlaku. Apapun kami tetap berpuas hati dengan persembahan malam ini.

“Lepas ni kami akan fokus kepada kehidupan seperti biasa, kalau ada rezeki kami kat luar, kami tidak akan sia-siakan peluang itu,” ujarnya mewakili Alok dan Paan.

AWESOME RAJA LAWAK
Memilih ‘silent comedy’ percaturan kumpulan Sesah tidak menjadi.

Sesah juga turut berterima kasih kepada juri dan mentor yang tidak jemu memberikan kata semangat, malah akan teruskan perjalanan dan minat terhadap dunia seni.

Kumpulan Sesah sebelum ini pernah hampir tersingkir pada minggu kedua, namun diselamatkan oleh juri tetap iaitu Saiful Apek, Khir Rahman dan Ayda Jebat.

Dalam pada itu, kumpulan Soda masih mengekalkan status juara mingguan dengan markah 81 peratus diikuti peserta solo, Azhar pada tangga kedua (71 peratus).

Menurut Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, pihaknya berpuas hati dengan persembahan secara keseluruhan daripada para peserta minggu kelima ini.

Iklan

“Jika dinilai daripada sudut kualiti kandungan dan kebijaksanaan dalam menyusun penceritaan sketsa yang dipersembahkan untuk minggu kelima bertemakan ‘Pekerjaan’ pada malam tadi, secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan usaha keras barisan peserta yang masih bertanding dalam program Awesome Raja Lawak.

“Peningkatan konsisten yang dipamerkan oleh para peserta dari minggu ke minggu jelas turut mendapat perhatian daripada pihak juri iaitu Saiful Apek, Khir Rahman dan Ayda Jebat berdasarkan komen positif serta pujian yang dikongsikan saban minggu. Mereka juga dilihat cukup terhibur dan tidak kering gusi dengan bahan jenaka yang dipersembahkan sepanjang membuat penilaian,” katanya.

Iklan

Berikut adalah senarai markah penuh setiap peserta minggu kelima:

1. Soda : 81%
2. Azhar : 71%
3. Semmat : 69%
4. Hanif : 65%
5. Sedare : 61%
6. Se’eh : 60%
7. Manja : 57%
8. Pelan : 56%
9. Mabo : 56%
10. Sesah : 50%

Awesome Raja Lawak disiarkan pada setiap hari Rabu, jam 9 malam di Awesome TV (Astro 123) dan MyTV (112).