AKTRES Nabila Huda mendedahkan dia mengalami keguguran buat kali kedua pada Isnin lalu.

Menurut Nabila, dia yang pada mulanya teruja apabila disahkan mengandung sekali lagi, mula berasa kecewa apabila mula mengalami pendarahan beberapa hari lalu.

Apatah lagi, dia dan suaminya, Mohd Izwan Johar sudah hampir lima tahun menantikan kehadiran cahaya mata.

“Saya rasa kalian perlu tahu apa yang berlaku pada saya sejak dua hari lepas. Saya keguguran lagi buat kali kedua.

“Masa pertama kali tahu saya alami pendarahan, saya sangat  kecewa. Semalam saya cuba untuk memulihkan semula perasaan itu.

“Sejujurnya, saya nak sangat ada anak. Terlalu nak sangat. Keinginan untuk ada anak tu nak sangat.

“Saya sangat teruja bila buat ujian dan doctor sahkan saya mengandung lagi. Tetapi dalam masa sama saya risau sangat tiba-tiba ‘dia’ tiada atau ‘dia’ jatuh atau ‘dia’ tak ada kat dalam tu (rahim),” katanya menerusi sepotong video yang dimuat naik di Instagram Story pada Rabu.

Tambah Nabila, biarpun sukar, dia kini sudah semakin pulih dan positif dalam mengharungi ujian itu.

“Saya percaya, tak ada rezeki lagi, kesian dekat suami saya. Lama dia tunggu, kenapa susah sangat…

Iklan

“Susah sangat bila kita teringin sangat… tapi saya kena move on. Saya ok, jangan risau.

“Semalam seharian fikir… Sakit rasanya…,” jelasnya.

Iklan
KELUARGA NABILA
Nabila bersama suami dan anaknya.

Dalam posting berasingan, Nabila turut mengucapkan terima kasih kepada semua teman rapat, sahabat dan pengikut Instagram yang tidak putus-putus menitipkan kata semangat dan doa.

Nabila yang mendirikan rumah tangga bersama Mohd Izwan pada Disember 2015 dan pernah keguguran pada April tahun lalu.

Menerusi perkahwinan pertama, Nabila dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila yang berusia 10 tahun.