SETELAH lama menyepikan diri, Linda Rafar kini kembali dengan lagu terbaharunya berjudul Sujud yang juga merupakan runut bunyi bagi drama bersiri 25 episod Zuriat Dari Penjara, bakal bersiaran pada Jun ini di RTM.

Sujud bukan sahaja memenuhi hasrat Linda untuk kembali aktif dalam dunia seni tetapi juga adalah buah tangan untuk peminat yang merinduinya.

“Sujud menceritakan perasaan seseorang yang rasa kesulitan dalam hidup akibat daripada kesilapan dan dosa yang telah dilakukan pada masa lalu.

“Dia mengakui kesilapan tersebut dan terasa beban sehingga menyebabkan hatinya berasa resah serta tidak tenang. Bagaimanapun, dia tidak berputus asa dan berusaha untuk memperbaiki diri serta berharap mendapat keampunan daripada Tuhan.

“Lagu yang berkonsepkan ketuhanan ini juga menggambarkan rasa cinta dan rindu kepada Tuhan.

“Melalui lirik lagu ini, dia juga memohon agar diberi kesempatan untuk berdoa dan bersujud kepada-Nya sebelum dijemput Ilahi,” cerita Linda mengenai lagu ciptaan sepenuhnya oleh HerdaSyira dan diterbitkan oleh RR Entertainment serta edaran KRU Music.

Ditebak mengenai ‘kehilangannya’ dalam radar industri seni sebelum ini, jelas wanita berusia 45 tahun itu, tanggungjawab sebagai seorang ibu menyebabkan dia terpaksa berehat seketika.

Iklan

“Saya sudah mula berkecimpung dalam dunia seni sejak berusia tujuh tahun lagi. Jadi, mustahil saya nak lupakan terus kerjaya sebagai anak seni.

“Apabila berada di set penggambaran baru-baru ini, saya rasa bersemangat untuk kembali aktif.

Iklan

“Saya mahu terus berlakon, belajar dan mencipta karya-karya baharu,” katanya yang juga bekas anggota kumpulan Elite.

Lagu Sujud boleh distrim di kesemua platform digital dan saluran YouTube KRU Music.