SELEPAS lima tahun mencipta magis bersama kumpulan Akim & The Majistret (ATM), penyanyi Akim Ahmad kini kembali bergerak ‘solo’.

Bagaimanapun ia bukan bermaksud Akim, 30, sudah meninggalkan kumpulan itu, sebaliknya hanya terbabit dalam sebuah projek untuk single solo terbaharunya.

Lagu berjudul Bayang, hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik oleh Hang Nadim bersama Bunga Cantik dan Arisz Ab Rahman itu memberi nafas baharu kepada muzik Akim, sekali gus menampilkan sisi berbeza dirinya sepanjang 12 tahun pembabitannya dalam industri.

Menurut Akim, Bayang adalah lagu yang cukup istimewa kerana ia merupakan hasil cetusan idea dia bersama isteri, Stacy.

“Lagu Bayang sangat berbeza dengan single saya sebelum ini dan boleh disifatkan evolusi saya sebagai seorang penyanyi.

”Dari segi bunyi dan muzik, ia juga berbeza dengan ATM. Bayang lebih mengetengahkan instrumen elektronik.

“Malah, ia sangat istimewa kerana merupakan hasil cetusan idea saya bersama dengan Stacy,” ujarnya.

Tambah Akim lagi, disebabkan lagu Bayang merupakan projek solo, dia mahukan sesuatu yang baharu dan berbeza.

”Sebelum ini, saya pernah bergerak solo. Tapi solo kali ini saya nak tunjukkan sisi berbeza pula.

”Setelah lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad, penyanyi solo.

“Jadi, inilah buah tangan terbaharu untuk peminat yang rindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, lagu Bayang ini satu lagi evolusi muzik dan kerjaya saya,” katanya.

Single Bayang menampilkan sisi berbeza diri Akim dan satu evolusi muzik dalam kerjaya seninya.

Bercerita lanjut single tersebut, kata Akim, ia sudah lebih setahun disimpan sebelum dirakam dan seterusnya dilancarkan sebagai sebuah single solo.

“Lagu Bayang ini sudah ada dalam simpanan saya sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi.

“Stacy cakap lagu ini sangat sesuai dengan saya. Bagaimanapun ketika itu saya belum dapat tangkap lagi melodi dan muzik lagu ini.

“Tidak sangka kebetulan ada projek terbaharu daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam sebuah lagu secara solo. Lagu yang sesuai pun dah ada jadi saya ambil keputusan untuk terus merakam lagu Bayang.

Iklan

“Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Itu yang saya cakap, lagu ini antara kerjasama istimewa kami. Ada sentimental value”, katanya.

Lagu Bayang juga dipilih menjadi salah satu lagu tema utama drama bersiri Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies & Trading yang bakal ditayangkan di slot Akasia, TV3 mulai hari ini.

Jelas Akim lagi, Bayang yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu itu mengisahkan tentang kehidupan seharian dan lirik lagu itu ditulis berdasarkan sinopsis drama Sabarlah Duhai Hati.

“Lagu ini berkenaan kehidupan seharian kita di mana semua orang sentiasa hidup dengan bayang. Jadi kena sentiasa mengadu dengan pencipta kita.

“Apabila dalam keadaan gembira, sedih atau apa saja, kena sentiasa mengadu kepada pencipta.

Iklan

“Selagi ada bayang, kena sentiasa jalankan tanggungjawab. Pendek kata, lagu ini memberi kekuatan untuk hidup,” katanya.

Mengulas status bersama ATM, Akim berkata dia dan kumpulan itu akan terus aktif dan projek solonya itu tidak menganggu aktiviti bersama kumpulan itu.

“ATM masih ada. Sekarang ini, kami dalam perancangan untuk mengumpul material bagi projek album.

“Perlukan waktu untuk cari material yang berkualiti. Tiada istilah ATM berhenti seketika. Baik saya muncul secara solo mahu pun bersama ATM, semua kena jalan,” katanya.