LANGKAH Aju Success di pentas Gegar Vaganza 7 (GV7) terhenti apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu ketujuh yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.

Aju menyampaikan lagu Hanya Rindu nyanyian asal Andmesh Kamaleng, dilihat sedaya upaya mengawal emosi kerana lagu berkenaan memberi makna tersendiri buatnya selepas kehilangan ibu tercinta, Hanisah Ismail pada 6 September lalu.

Bagaimanapun persembahan tersebut gagal memikat hati juri tetap Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim serta Saiful Apek dan Ad Samad selaku juri jemputan apabila mendapat markah terendah iaitu 57.80 peratus (%).

Sementara itu Oja yang membuat persembahan menerusi lagu Amelina berada di tangga pertama dan secara automatik menjadi penerima Anugerah Bintang Paling Power Miow dan menerima produk tajaan Adabi bernilai RM1,500.

Pada konsert yang mengangkat tema Take Over itu, Noraniza Idris diumumkan sebagai penerima Anugerah Next Level Digi, manakala Anugerah Cuckoo Healthy Home pula menjadi milik Linda Nanuwil.

Selain Oja, Noraniza dan Linda, peserta lain yang turut meneruskan persaingan pada konsert minggu kelapan yang juga minggu suku akhir adalah Muss, Ashira, Cliff Umar, Yantzen dan Ayu Damit.

Biarpun diadakan tanpa kehadiran penonton sebagai langkah pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, konsert GV7 saban minggu tetap berlangsung meriah.

Iklan

GV7 yang dihoskan pasangan pengacara serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (124) dan Ria HD (104), setiap Ahad, jam 9 malam bermula 11 Oktober lalu.

Berikut adalah edudukan peserta pada konsert minggu ketujuh dan lagu yang bakal dibawakan pada konsert minggu kelapan dengan tema Throwback :

Iklan
  1. Oja – 73.70% (Memori Cinta Luka)
  2. Ashira – 69.70% (Nur Kasih)
  3. Noraniza Idris – 69.60% (Anak Kampung)
  4. Yantzen – 69.00% (Segalanya Ku Terima)
  5. Muss – 64.50% (Seragam Hitam)
  6. Linda Nanuwil – 64.50% (Teringin)
  7. Ayu Damit – 58.80% (Rahsia Pohon Cemara)
  8. Cliff Umar – 58.20% (Pesanan Buat Kekasih)