‘Lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku urusanku’, doa Neelofa curi perhatian ramai

A
A
A

MESKIPUN tidak memberikan sebarang kenyataan atau reaksi berhubung desas desus kononnya bakal melangsungkan pernikahan pada hujung minggu ini, tindakan pelakon dan pengacara Neelofa berkongsi doa di laman sosial miliknya pada malam Selasa, mencuri perhatian ramai.

Antara lain, Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32, memohon doa agar dipermudahkan urusannya.

“Wahai Tuhanku, tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau jadikan mudah dan perkara yang susah boleh Engkau jadikan mudah apabila Engkau mengkehendakinya.

“Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat-Mu aku meminta pertolongan.

“Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku, dan mudahkanlah bagiku urusanku,” tulisnya.

Antara komen wargamaya pada hantaran doa yang dimuat naik Neelofa.

Meninjau ruangan komen kepada hantaran tersebut, rata-rata peminat dan pengikutnya membuat andaian bahawa tulisan Neelofa itu seperti memberi bayangan kepada satu ‘urusan penting’ yang bakal dilaluinya dalam masa terdekat.

“Dengan rahmat-Mu aku meminta pertolongan ya Allah. Doakan saya dalam doa-doa kalian,” tulisnya.

Tidak hanya itu, hantaran Neelofa yang berlatar belakangkan beberapa keping gambar seolah-olah sedang mencuba pakaian pengantin itu juga turut mencuri perhatian pengikutnya.

Masing-masing mula membuat pelbagai spekulasi dan tidak kurang juga yang mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan menitipkan doa agar urusan yang dimaksudkan Neelofa itu dipermudahkan.

Terdahulu, nama Neelofa dan pasangannya, bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Riz atau Haris Ismail menjadi bualan hangat sejak Isnin, apabila dikatakan bakal melangsungkan pernikahan minggu ini.

Menguatkan andaian itu apabila Instagram @lofa.page dilihat memuat-naik petikan video Haris sedang membelek samping songket di sebuah butik, sebelum video tersebut dipadamkan.

Tidak hanya itu, satu majlis bersama Neelofa yang dijadualkan berlangsung pada pagi Selasa, dibatalkan pada saat-saat akhir.

Kisah cinta pasangan itu menarik perhatian ramai pada November lalu, apabila Neelofa dirisik keluarga Haris dan merancang melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun ini.

Bagaimanapun, hubungan mereka diuji apabila dikatakan berlaku satu insiden melibatkan keluarga bekas juara Dewi Remaja 2009/2010 dan Haris, sebelum kembali pulih pada Januari lalu.

 

(FOTO: Instagram Neelofa & Haris)

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca