NAMA Layla Sania Khairuzikri barangkali masih asing buat sesetengah peminat industri seni tempatan.

Bahkan penulis sendiri mula mengetahui tentang bintang dalam ciptaan yang baru mencecah usia 20 tahun itu ketika beliau memenangi trofi Pelakon Harapan Wanita bagi filem Small Town Heroes di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32), 2 Disember lalu.

Filem Small Town Heroes turut memenangi enam anugerah lain termasuk Pengarah Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik yang dimenangi Phua Chandler.

Layla berharap filem Small Town Heroes menjadi penanda aras yang baik buatnya untuk terus aktif dalam dunia seni.

Apa yang SinarPlus boleh simpulkan, selebriti muda itu berbakat dan mempunyai kelebihan tersendiri. Tidak dapat hadir ke FFM32 lantaran terlibat dengan penggambaran, Layla mengakui terkejut apabila mengalahkan nama besar lain seperti Amelia Handerson dan Alicia Amin yang tercalon dalam kategori sama.

Ujar beliau, ketika diumumkan sebagai pemenang, dirinya sedang menjayakan babak dalam drama terbaharu.

“Pelik juga bila melihat umi (ibu) melompat-lompat ketika itu. Sebaik selesai, umi maklumkan yang saya menang, tetapi saya agak terpinga-pinga.

“Bila sudah boleh ‘hadam‘, barulah saya menangis teresak-esak sebab tidak sangka juri akan memilih saya,“ ujarnya ketika ditemui di pejabat Lomo Pictures Sdn Bhd, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Bersama penerbit Small Town Heroes, Aron Koh dan pengarah, Ryon Lee Eng Keong.

Menjadikan kemenangan tersebut sebagai pembakar semangat, pelakon yang fasih berbahasa Mandarin itu tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan.

“Saya mahu buktikan bahawa saya berhak memenangi anugerah itu kerana ia dilakukan atas usaha saya sendiri. Ya, saya sedar selepas ini, pasti akan lebih banyak mata yang akan memerhati saya selepas ini,“ katanya.

Bercerita lanjut, Layla yang juga seorang penyanyi berkata, beliau sudah berjinak-jinak dalam bidang seni seawal usia tujuh tahun lagi.

Memulakan penglibatan dalam dunia nyanyian terlebih dulu, selebriti itu kemudian diberi peluang berlakon dalam telefilem Cucu Tok Aki dan drama Bangkitnya Seorang Perempuan.

“Pada usia sembilan tahun, saya berhenti seketika untuk memberi perhatian pada pelajaran.

“Saya kembali bergiat aktif semula dalam bidang teater dan suara latar, sebelum bergelar juara pada pertandingan nyanyian MBP Singing Competition pada tahun 2018,“ katanya.

Iklan

Kebolehannya yang boleh berbahasa Mandarin dengan baik juga telah mendorong Layla muncul dengan single pertama dalam bahasa itu bertajuk By Your Side.

“Setakat ini, saya sudah ada empat lagu Mandarin dan dua lagu Melayu termasuk duet bersama Bunga Isme,“ ujarnya yang akan tampil dengan sebuah lagi single dalam bahasa Mandarin pada awal tahun depan.

Selain itu, peminat setia Amy Winehouse, Ariana Grande dan Duffy itu bakal muncul dengan sebuah drama bersiri yang masih dirahsiakan judulnya.

Guru tadika

Dalam pada itu, berkongsi sisi lain kehidupan, Layla berkata, beliau sebenarnya sedang menjalani latihan industri sebagai guru tadika bagi melengkapkan pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Iklan
Layla mengakui menjadi diri sendiri dalam filem Small Town Heroes.

Meskipun sibuk di lapangan seni sebagai pelakon, penyanyi dan pengacara majlis, anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu menyimpan impian untuk menjadi guru tadika dan membuka sebuah pusat asuhan sendiri pada suatu hari nanti.

“Kalau tanya saya nak jadi apa, saya nak jadi penyanyi, pelakon dan guru tadika. Walaupun nampak mustahil, saya dah cuba dan rasa tidak ada apa yang mustahil.

“Pada awalnya memang mencabar, bagaimanapun kini tidak lagi sebab saya sudah tahu bahagikan masa. Insya-ALLAH selepas tamat pengajian, saya merancang untuk teruskan pengajian dalam bidang sama, tetapi fokus kepada keperluan khas.

“Bila saya ada duit, saya nak buka tadika sendiri dan memberi perhatian kepada kanak-kanak yang memerlukan pemerhatian khusus, tetapi ibu bapa mereka kurang pendapatan,“ katanya.