KETIKA drama The Maid ditayangkan di Astro Ria baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan penyanyi lagu Lenggang yang dijadikan runut bunyi drama berkenaan.

Lagu berentak pop yang cukup catchy serta menggabungkan pelbagai elemen itu merupakan nyanyian pendatang baharu, Syafiq Naser.

Bagi lelaki ini, dia gembira apabila lagu Lenggang mendapat perhatian sehingga membuatkan ramai tertanya-tanya mengenainya.

“Ini merupakan single pertama dan tak sangka ia berpeluang menjadi runut bunyi untuk drama popular.

“Sebagai orang baharu dalam industri, saya bersyukur dengan peluang yang ada dan menganggap ini permulaan  baik.

“Walaupun Lenggang baru sahaja dilancarkan tetapi maklum balas diterima begitu baik. Saya menghargai setiap komen dan kritikan, malah berharap lagu ini diterima baik oleh semua,” ujarnya.

Syafiq Naser jadikan program Vokal Mania sebagai batu loncatan.

Vokal Mania batu loncatan

Mendekati jejaka berusia 26 tahun itu, bagi sesetengah pengguna media sosial, wajah Syafiq bukanlah asing.

Sudah dikenali sebagai influencer terkenal dan sering membuat video parodi sejak dua tahun lalu, bakat Syafiq sebagai penyanyi semakin menjadi perhatian selepas menyertai program realiti Vokal Mania beberapa bulan lalu.

Meskipun tidak berjaya ke peringkat akhir, itu sudah cukup memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

Ia secara tidak langsung menjadi platform buat Syafiq meneruskan karier seni sebagai penyanyi.

Lenggang sudah dilancarkan secara rasmi pada 13 Januari lalu dan pastinya lagu ciptaan AmzarSabri, Muaffirah dan Dayne itu begitu dekat dengan perwatakan dirinya yang happy go lucky.

Iklan

“Ini juga menjadi pengalaman pertama saya masuk studio rakaman. Bukan mudah nak menyiapkan lagu ini, tetapi saya beruntung kerana Amzar banyak membantu terutamanya mencari kesesuaian lenggok dan feel.

“Lagu ini pula mempunyai pelbagai karektor dan saya perlu mendalami satu persatu terlebih dahulu. Syukurlah semuanya berjalan lancar dan saya tak berhadapan masalah besar,” kata anak kelahiran Perak itu. Cabaran

Meskipun negara masih berdepan pandemik Covid-19, Syafiq sempat menyiapkan video muzik Lenggang pada penghujung Disember lalu.

Iklan

Menariknya video muzik tersebut menuntut dirinya sama-sama menari dan membawakan pelbagai karektor termasuklah watak bapa bermisai tebal.

“Saya memang takut bila dapat tahu kena menari. Dengan tak ada praktis, saya beranikan diri sahaja. Mujurlah penari terlibat banyak memberikan tunjuk ajar. Kalau tak, haru-biru juga.

“Dari pagi membawa ke malam, barulah selesai proses rakaman. Ini memang cabaran baharu buat saya. Apa yang penting hasilnya disukai ramai, itu sudah cukup menggembirakan saya,” ujarnya.