HAMPIR 10 tahun bergiat aktif dalam bidang seni, nama Azira Shafinaz semakin mekar dan menjadi perhatian ramai.

Jarang dihimpit kontroversi liar, anggota kumpulan De Fam ini bijak mengatur langkah bukan hanya dalam bidang muzik, tetapi juga lakonan dan pengacaraan.

Kembali sibuk di lapangan selepas kerajaan memberi kebenaran buat industri kreatif kembali beroperasi, Azira atau nama penuhnya Azira Shafinaz Ramlan berkata, dia cuba membahagikan masa sebaiknya antara dunia lakonan dan nyanyian.

“Sekarang saya sibuk di lokasi penggambaran Bunga dan Kayu untuk siaran Astro First. Kemudian saya akan masuk ke set penggambaran drama untuk slot Akasia di TV3.

“Sejak kembali bekerja, saya memang sibuk di lokasi penggambaran sampaikan saya belum berkesempatan menyaksikan filem lakonan saya, Penunggang Agama 2 di Astro First.

“Saya harap filem itu mendapat respons positif sama seperti filem pertama sebelum ini. Untuk karier muzik pula, Insya-ALLAH De Fam dalam perancangan untuk keluar single baharu tahun depan, namun semuanya masih dalam proses perbincangan,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Jika Sophia Liyana sudah tampil dengan projek solo dalam bidang nyanyian, Azira berkata, dia lebih selesa untuk memberi fokus terhadap dunia lakonan terlebih dahulu.

“Saya tidak pernah terfikir untuk tampil dengan single solo sebab dunia lakonan lebih menjadi minat saya. Jadi kalau menyanyi, buat masa ini saya hanya akan tampil dengan De Fam sahaja.

“Dalam lakonan pula, selepas drama dan filem, saya menyimpan impian untuk berlakon teater. Kalau dapat peluang itu, kira dah lengkap impian saya dalam dunia lakonan,” jelasnya.

Iklan
Selain sibuk di pentas seni, Azira juga sudah mula berjinak dalam dunia perniagaan.

Diusik soal berumah tangga, wanita berusia 30 tahun itu mengakui sudah bersedia untuk berkahwin pada bila-bila masa andai sudah sampai serunya.

Bagaimanapun buat masa ini, selain memberi tumpuan kepada kerjaya, Azira juga baru berjinak-jinak menguruskan perniagaan.

Iklan

“Saya letak soal jodoh ini pada ALLAH SWT. Kalau sudah sampai seru, saya pasti akan kahwin, cuma bila dan dengan siapa, saya pun tidak tahu.

“Buat masa ini, saya gembira dengan kehidupan saya, karier saya dan perniagaan, Cookieja yang baharu sahaja bermula.

“Walaupun sering diajukan soalan bila hendak berkahwin, saya tidak rasa rimas dan menjengkelkan sebab bila usia semakin meningkat, tentulah ramai yang nak lihat kita ke fasa seterusnya,” katanya sambil tertawa kecil.