TAHUN 2023 membuka tirai dengan lambakan filem seram yang mengisi slot tayangan di seluruh pawagam tanah air.

Salah satu yang mencuri tumpuan tentunya filem M3GAN, naskhah ditulis dan diterbitkan oleh James Wan yang sememangnya cukup sinonim dengan genre filem tersebut.

Bagaimanapun, filem ini diarahkan oleh Gerard Johnstone yang cuba memberikan interpretasinya sendiri dalam menyampai cerita.

Mengisahkan Gemma, seorang pakar robotik yang bertugas di sebuah syarikat alat permainan terkemuka dalam diam menggunakan kepakarannya membina sosok pintar diberi nama M3GAN yang merupakan singkatan kepada Model 3 Generative Android).

M3GAN dibangunkan dengan saiz sebenar menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) dan diprogramkan sebagai peneman kepada kanak-kanak dan pembantu kepada orang dewasa.

Apabila secara tiba-tiba terpaksa menjadi penjaga kepada anak saudaranya, Cady, yang baru sahaja kematian ibu bapanya, Gemma ternyata belum bersedia mengambil alih tanggungjawab itu. Dia kemudiannya memadankan M3GAN dengan Cady dengan harapan urusan menjaga kanak-kanak itu menjadi lebih mudah.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan Gemma menjadi sebaliknya apabila gajet itu dilihat terlalu melindungi Cady, malah menjadi sangat agresif sehingga menyebabkan  pelbagai insiden tidak diingini berlaku.

M3GAN merupakan peneman yang baik, namun bertukar sebaliknya terhadap individu yang dianggap mengancam Cady.

Menonton filem ini sedikit sebanyak akan mengingatkan penonton kepada naskhah Chucky dan Annabelle yang turut mengetengahkan kisah seram daripada patung mainan yang menjadi punca kepada segala kekalutan.

Bagaimanapun, M3EGAN tampil unik menerusi unsur seram di sebalik kecanggihan teknologi yang mampu menghuru-harakan manusia. Malah, pengarahnya juga bijak menggunakan kreativiti menyelitkan elemen fiksi ilmiah dalam filem ini.

Debaran

Walaupun elemen jumpscare yang ditampilkan tidak banyak, namun ia sudah cukup mengheret debaran penonton dan mengikuti cerita sehingga ke penghujung. Kisah yang awalnya sedih itu berubah menjadi sebuah thriller dan pembunuhan yang sangat menyeramkan.

Dalam pada itu, M3GAN turut tampil dengan mesej penting yang disampaikan kepada penonton. Elemen komedi gelap dan satira yang diselitkan memberi impak tersendiri kepada penonton.

Iklan

Ia seperti satu tamparan kepada golongan dewasa masa kini yang cenderung menyelesaikan segala masalah berkaitan anak-anak dengan menggunakan gajet. Tanpa disedari ia sebenarnya memberi kesan yang buruk kepada perkembangan mental dan emosi mereka.

Dalam pada itu, terdapat beberapa kelemahan dalam filem ini. Temponya agak laju dan dilihat agak tergesa-gesa dalam menghabiskan cerita. Malah ada babak-babak yang kurang diberi penelitian dan terlihat tidak meyakinkan.

Bagaimanapun M3GAN masih berbaloi untuk ditonton dan saksikan filem ini di pawagam berhampiran.

Iklan


M3GAN
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: P13
Genre: Seram/sains fiksyen
Durasi: 1 jam 42 minit
Pengarah: Gerard Johnstone
Pelakon: Allison Williams, Violet McGraw, Ronny Chieng
Tarikh Tayangan: 5 Januari 2023
Edaran: United International Pictures

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.