PELAWAK Shuib Sepahtu memohon orang ramai agar terus mendoakan kesembuhan buat isterinya, Siti Sarah yang kini kritikal selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) berikutan tahap oksigen rendah dalam badan, pada Jumaat.

Sarah, 37, yang baru sahaja melahirkan bayi lelaki pembedahan pada petang hari sama, bagaimanapun masih belum sedarkan diri.

Reda dengan ujian yang dilalui, Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, yakin isterinya itu kuat untuk berjuang dan kembali ke rumah selepas ini.

“Insya-ALLAH Saya cukup yakin isteri saya kuat dan saya cukup yakin dia akan balik ke rumah. Anak-anak semua mendoakan dia.

“Insya-ALLAH dengan berkat bacaan Yasin malam ini, saya harap ALLAH angkat doa kita semua.

“Bacaan Yasin dan doa-doa malam ini kita tujukan juga untuk semua yang tengah berjuang melawan Covid-19 di luar sana,” katanya pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat secara maya untuk kesembuhan Siti Sarah, anjuran Indigital Music pada Jumaat malam.

Dalam pada itu, Shuib memohon semua kenalan dan orang ramai agar memaafkan segala salah silap isterinya selama ini.

“Saya mohon maafkan segala apa sahaja yang dia ada sakitkan hati sesiapa, Ampunkan dia dan halalkan makan minum dia. Insya-Allah, saya yakin dia akan balik. Saya yakin dia akan sihat.

“Semoga dengan memaafkan dia, akan permudahkan perjalanan dia untuk hadapi semua ini, insya-ALLAH,” pintanya.

Akui Shuib, ketika ini dia lebih tenang dan terbuka, malah reda dengan segala ketentuan untuknya dan keluarga.

“Saya sangat berlapang dada pada malam ini, untuk segala doa yang diberikan. Petang tadi saya rasa kosong dan tidak tahu nak buat apa.

“Saya reda dengan ujian ALLAH ni. Saya yakin dengan setiap ujian yang saya lalui, ada kebaikan di depan.

Iklan

“Saya dah lalui macam-macam ujian dengan dia dan dialah orang yang kuatkan saya. Bila semua orang ada dalam (majlis bacaan Yasin dan doa selamat) ni, telah buka mata dan hati saya untuk reda dan lebih yakin terima apa sahaja yang akan jadi selepas ini,” katanya.

Malah Shuib juga percaya, apa pun yang terjadi, ALLAH pasti memberikannya yang lebih baik.

“Walaupun benda tu tak baik, itulah adalah yang paling baik ALLAH nak bagi pada saya dan keluarga. Saya cukup yakin apa pun jadi selepas ni, ALLAH nak bagi saya benda yang lebih baik.

“Malam ini sebenarnya ajar saya banyak benda. ALLAH ajar saya untuk reda yang paling reda. Ya, saya dah reda. Apa sahaja keputusan dan keadaan selepas ini saya akan reda, insya-ALLAH.

Iklan

“Cuma saya mohon sangat, janganlah lepaskan doa untuk dia sampailah bila-bila. Tolonglah selitkan doa untuk dia, tolonglah. Apapun jadi, doakanlah dia,” pinta Shuib berkali-kali dalam keadaan sebak.

Sementara itu, Shuib juga memohon agar turut dititipkan doa buat cahaya mata keempatnya, Ayash Affan, yang kini berada di hospital sama.

“Doakan juga untuk anak saya di hospital, Ayash Affan. Semoga dia jadi anak yang soleh dan anak yang kuat untuk bertahan dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Majlis bacaan Yasin dan doa selamat pada Jumaat malam itu dipimpin oleh Ustaz Ahmad Salahuddin Harun, selain turut disertai Datuk Dr Mohd Fadzillah Kamsah. Tidak ketinggalan rakan-rakan artis yang turut sama memberikan sokongan.