BUKAN semua penyanyi mampu menyanyikan lagu patriotik dengan baik, apatah lagi dalam versi orkestra simfoni yang tentunya memberikan cabaran tersendiri buat penyanyinya.

Itulah juga yang diakui penyanyi Ernie Zakri saat menggalas tanggungjawab menyanyikan lagu tema hari kemerdekaan tahun ini, Malaysia Prihatin.

“Lagu ciptaan Datuk Mokhzani Ismail ini dihasilkan dalam dua versi iaitu pop dan simfoni.

“Alhamdulillah saya diberi tanggungjawab menyanyikan versi simfoni atau klasikal yang sangat mencabar dari segi vokal dan tekniknya.

“Sebenarnya saya sudah lama tidak menyanyi dalam versi sebegini, apatah lagi dengan suara soprano yang bukan mudah nak buat.

“Bagaimanapun, inilah sumbangan kecil saya pada negara dan saya sentiasa rasa bangga setiap kali menyanyikan lagu tersebut terutamanya sepanjang bulan kemerdekaan ini,’ ujarnya.

Ernie atau nama lengkapnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, berkata, dia tidak menyangka versi simfoni itu turut menarik minat generasi muda menghargai lagu tersebut.

“Pada awalnya saya fikir versi pop akan lebih diterima ramai kerana ia genre popular, bagaimanapun tak sangka muzik simfoni turut mengundang perhatian dan diperkatakan ramai.

Iklan

“Penerimaan positif itu memberi isyarat, kita masih ada harapan untuk membentuk generasi muda untuk lebih menghargai muzik simfoni meskipun mereka jarang mendengarnya.

“Saya harap lagu ini akan menjadi malar segar sebagaimana lagu patriotik lain kerana sususan muzik simfoninya sangat hebat,” akui Ernie.

Iklan

 

(FOTO: Instagram Ernie Zakri)