IBU kepada pengacara dan usahawan terkenal, Neelofa iaitu Datin Noor Kartini Noor Mohamed meluahkan rasa syukur atas kelancaran majlis pernikahan anak perempuannya itu pada Sabtu lalu.

Menerusi hantaran di laman Instagramnya hari ini, Kartini juga menitipkan doa agar perkahwinan anak dan menantunya itu sentiasa diberkati.

“Mudah-mudahan Allah memberkahi engkau dalam segala hal (yang baik) dan mempersatukan kamu berdua dalam kebaikan.

“Allahuakbar Allah Maha Besar, Segala Puji Hanya PadaMu. Syukur Alhamdullilah segala apa yang dirancangkan berjalan dengan baik dan dirahmati.

“Ya Allah, ikatan mereka dibina atas perancangan-Mu, atas rencana-Mu, aku sebagai ibu mensyukuri apa yang telah Engkau rencanakan kerana Engkau adalah sebaik baik perancang.

Dalam perkongsian sama, Kartini berpesan kepada Neelofa agar sentiasa taat kepada suaminya, Haris Ismail dan menjaga rumah tangga mereka dengan baik.

“Wahai anakku sayang Neelofa, taati dan sayangilah suamimu, Haris dan serikanlah mahligai cintamu setiap saat dan setiap waktu seperti mana Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan seperti Muhammad S.A.W dan Siti Khadijah.

“Semoga Allah memberkati dan menghimpunkan kamu berdua kebaikan dan keberkatan di dunia akhirat kelak Insya-ALLAH,” tulisnya.

Tambah Kartini lagi, biarpun berat melepaskan anak kesayangannya itu, dia akur kerana percaya itu adalah aturan terbaik, malah yakin Haris dapat menjaga dan membimbing Neelofa ke jalan Allah.

Iklan

“Ya Allah Ya Tuhanku, berkati dan serikan mahligai cinta mereka dengan siraman cinta setiap masa dan kurniakan kepada mereka zuriat yang soleh dan juga solehah.

“Doa mama dan keluarga sentiasa mengiringi gerak langkah dan perjalanan kamu wahai sayangku.

“Berat tangan ini melepaskanmu sayang tetapi kutahu ini aturan yang baik buatmu kerana Allah kurniakan kamu pasangan yang baik untuk menyambut lepasan tanganku ke tangannya dan terus membimbingmu ke jalan Allah.

Iklan

“Mama sentiasa sayangkan love. Semoga berbahagia dan bercinta hingga ke Jannah,” ujarnya.

 

(FOTO & SUMBER: Instagram Noor Kartini)