SETELAH dua tahun tidak menghasilkan lagu baharu, Haiza akhirnya menarik nafas lega apabila kini tampil dengan lagu Mantan Isterimu.

Lagu yang sudah pun berada di semua platform digital sejak 22 Februari lalu itu merupakan karya Ajai dan lirik oleh Iman Imran. Ia bukan sahaja berjaya menangkap halwa telinga, tetapi liriknya juga mudah difahami oleh sesiapa sahaja.

“Memang rindu sebenarnya nak tampil dengan lagu baharu selepas Young & Gentlemen keluar dua tahun lalu. Bila sudah ada peluang begini, tentunya saya gembira memandangkan ada produk baharu untuk peminat.

“Lagu ini sendiri ada banyak perbezaan berbanding dengan lagu terdahulu. Genre world music dan fusion lebih menghiburkan serta dekat dengan peminat memandangkan kisahnya mengenai asam garam rumah tangga,” kata Haiza.

Mantan Isterimu mengisahkan tentang perempuan yang gila talak setelah berlakunya perceraian.

Bagi Haiza atau nama penuhnya Rohaizah Nordin, 41, perkara itu bukan tabu dalam kalangan masyarakat tetapi biasa berlaku.

“Jika frasa gila talak disebut, masyarakat biasanya akan teringatkan lelaki memandangkan kebanyakan kes ini pernah berlaku, padahal ada juga wanita tidak move on apabila berlakunya penceraian.

“Kita faham tak semua orang akan move on bila berlaku perpisahan. Kenapa perkara tersebut terjadi? Hanya mereka sahaja tahu apa sebenarnya terjadi, sedangkan orang luar terus menerus membuat andaian.

“Semua kisah masyarakat yang berlaku dirumus oleh Iman Imran dalam lagu ini. Bagi saya ini sesuatu yang segar, lain dan dekat dengan pendengar,” katanya yang menganggap liriknya merupakan sebuah kritikan sosial kepada masyarakat.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, penyampai radio Kool FM ini turut merasai perubahan besar dalam kerjaya sejak Covid-19 melanda dunia.

Iklan

Jika dahulu dia sering melakukan banyak pekerjaan dalam satu masa, kini fokusnya lebih tertumpu kepada radio semata-mata memandangkan acara hiburan sudah berkurangan berbanding dahulu.

Haiza mengakui turut terjejas selepas Covid-19 melanda negara.

“Dulu saya buat tiga atau empat kerja sekali gus. Sekarang tak banyak show memandangkan acara hiburan makin kurang disebabkan SOP dan sebagainya. Tapi saya bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan tetap.

“Ada dalam kalangan rakan-rakan artis lain juga berhadapan dengan masalah sama sehingga terpaksa mencari pendapatan dengan cara lain. Semua orang terkesan, ini realiti yang dihadapi oleh semua,” tambahnya.

Iklan

Bagi Haiza semua orang perlu mengambil peluang menggunakan platform digital untuk melakukan apa sahaja demi mencari sumber pendapatan, termasuklah berniaga, memasarkan produk dan sebagainya.

Dia juga tidak terkecuali dalam hal tersebut untuk memasarkan single Mantan Isterimu.

“Perubahan semasa tetap akan berlaku dan semua orang perlu memanfaatkan peluang yang ada. Kita berusaha dan Tuhan menentukan. Apa yang penting adalah langkah pertama itu,” katanya.