PENYANYI Mark Adam kini bergelar penyampai Hot FM dan mengendalikan segmen Geng Pagi Hot (GPH) bermula hari ini bersama Fizie, sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan Shuib.

Mark atau nama lengkapnya Fikri Mark Adam Abdullah, 41, memberitahu, tawaran untuk menyertai Hot FM diterima Januari lepas.

“Kerjaya saya terus berubah 360 darjah. Semasa ditawarkan untuk menjadi penyampai di Hot FM, saya fikir banyak kali sebab ini bukan saja kerjaya tetapi tanggungjawab yang perlu saya galas.

“Saya sedar peluang sebegini bukan datang selalu dan terus membuat keputusan menyertai Hot FM. Peluang ini juga memberi ruang untuk saya mencabar diri mencuba sesuatu yang baharu,” ujarnya.

Mark juga berkata, dia sedar dirinya masih kurang fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu, namun berani untuk mencuba.

“Bahasa Melayu bukanlah bahasa pertama saya, jadi untuk bertutur dengan lancar sebagai penyampai radio merupakan satu cabaran buat saya.

“Bagaimanapun saya juga melihat peluang di Hot FM ini adalah salah satu cara untuk memperbaiki bahasa pertuturan saya,” katanya.

Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, kemasukan Mark Adam adalah bagi merancakkan lagi industri penyiaran radio, dan secara khususnya untuk memberi nafas baharu kepada segmen GPH.

“Kami sentiasa mencari bakat dan muka baharu untuk menghiasi dan memantapkan barisan Hot FM.

“Seperti yang semua tahu, Mark merupakan seorang artis versatil yang diakui kemampuannya.

“Kami percaya kekuatannya sebagai penyanyi, pelakon dan juga penghibur dapat memberi warna dan variasi kepada pengisian GPH.

Iklan

“Selain itu, kelebihan Mark juga terletak pada keikhlasannya apabila memberikan sesuatu persembahan dan itu dapat mendekatkan lagi Hot FM dengan para pendengar kami,” katanya.

Tambahnya lagi, GPH akan menampilkan pengisian lebih segar berdasarkan kisah menarik yang berlaku dalam kalangan pendengar dan juga kisah peribadi penyampai.

“Banyak idea yang ingin kami hidangkan kepada pendengar. Semestinya, langkah ini diambil untuk kami sentiasa tampil dengan pembaharuan dan mengukuhkan lagi jenama Hot FM dari segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini,” katanya.

Iklan

Hot FM turut mengumumkan segmen Jam Hot masih mengekalkan Deen dan Haziq sebagai gandingan dari jam 4 petang hingga 8 malam. Manakala, segmen Mega Hot kelolaan Zetty pula akan ke udara dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Dalam perkembangan lain, perkhidmatan Shuk sebagai penyampai Hot FM masih lagi digantung buat sementara, susulan isu rumah tangganya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pihak pengurusan Hot FM mengesahkan bahawa isu ini masih dikaji dan dalam perbincangan buat masa ini dan pengumuman akan dibuat kelak.