PENYANYI dan pelakon, Nabila Razali terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan di Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM35) atas masalah kesihatan.

Berita itu dimaklumkan sendiri pengurus Nabila, Ash menerusi satu kenyataan kepada media petang ini.

Menurut Ash, keputusan ini dibuat atas nasihat doktor, guru vokal Datuk Syafinaz Selamat dan juga komposer lagu Peluang Kedua, Hael Husaini serta MFMF.

“Dukacita saya ingin memaklumkan bahawa artis di bawah jagaan saya Nabila Razali tidak dapat membuat persembahan di SFMM35 atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan.

“Pelbagai usaha rawatan sudah dilakukan termasuk khidmat doktor pakar namun berehat dalam jangka masa yang panjang adalah jalan terbaik.

“Ini adalah keputusan yang sangat sukar buat Nabila berikutan peluang untuk menyanyi di pentas SFMM antara yang menjadi impian beliau sebagai penyanyi.

“Dia sudah menjalani latihan vokal sejak September lalu bersama Datuk Syafinaz sebagai persiapan awal.

“Namun masalah ini dikesan sejak minggu lalu dan menjadi semakin teruk,” jelasnya.

Nabila sepatutnya menyanyikan lagu Peluang Kedua pada malam Ahad, iaitu hari terakhir penganjuran SFMM.

Iklan

“Pihak kami masih mengusahakan siapa pengganti terbaik untuk lagu ini. Sebarang perkembangan mengenainya akan diberitahu kemudian.

“Pihak produksi juga sudah dimaklumkan tentang perkara ini,” ujar Ash.

Menerusi pertemuan bersama Sinar Harian baru-baru ini, Nabila memaklumkan mengalami masalah dengan  suaranya dan doktor menasihatkan Nabila untuk berehat panjang daripada menyanyi serta tidak digalakkan untuk bercakap.

Iklan

Sementara itu, Nabila menerusi akaun Instagramnya memuat sepotong video pendek dengan kapsyen : “Hati saya remuk.”

Bagaimanapun Nabila menutup ruang komen pada video berkenaan.