SELEPAS lama berehat daripada aktiviti penggambaran disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Hafreez Adam lega apabila kini dapat berkerja seperti biasa.

Bagaimanapun, kata Hafreez, 31, banyak perancangan kerjanya perlu disusun semula disebabkan berlaku pertindihan jadual setelah beberapa drama lakonannya ditangguh penggambaran sebelum ini.

“Alhamdulillah lega apabila dapat kembali bekerja di lokasi dan sambung penggambaran yang tertangguh sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya perlu susun semula jadual kerja kerana penangguhan penggambaran sebelum ini menyebabkan ia bertindih dengan projek lakonan lain.

“Saya sepatutnya selesai penggambaran sebuah drama pada Disember lalu, tapi disebabkan PKP, ia tertangguh hampir tiga bulan dan baru sekarang dapat disambung kembali,” katanya.

Apa pun, Hafreez bersyukur kerana masih dihujani tawaran berlakon dan aktif dalam bidang seni.

Menafikan anggapan mengatakan dia kini memperlahankan aktiviti seni, Hafreez berkata, banyak drama lakonannya yang telah selesai penggambaran belum disiarkan di kaca TV.

“Sebenarnya ada empat drama lakonan saya belum disiarkan, selain dua drama baharu dalam penggambaran dan bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.

“Mungkin sebab lama tak nampak saya di kaca TV, ramai fikir saya dah kurang berlakon.

“Hakikatnya saya sibuk di lokasi terutamanya apabila melibatkan drama episod panjang dan hanya berehat sepanjang PKP lalu sahaja,” katanya.

Tidak hanya itu, Hafreez juga sibuk menguruskan perniagaan makanan yang diusahakan bersama keluarganya.

Iklan

“Selain berlakon, saya mengusahakan perniagaan Char Kuetiau bersama keluarga.

“Walaupun jualannya agak perlahan ketika PKP pertama dulu, alhamdulillah sekarang sambutannya cukup memberangsangkan daripada orang ramai,” katanya.

Berkongsi tentang kehidupan peribadinya kini, Hafreez yang bakal tampil dengan drama Jangan Ganggu Jodohku, mengakui masih sendiri, namun lebih selesa bercerita tentang kerjaya seninya sahaja.

Iklan

“Jujur saya katakan, saya sekarang tidak lagi mencari cinta atau jodoh. Kalau ada, adalah.

“Saya tak nafikan ada juga berkawan dan kenal-kenal orang, tetapi buat masa ini biarlah saya fokus pada kerja dahulu.

“Saya banyak belajar daripada pengalaman lalu dan kalau boleh tidak mahu terlalu terbuka dalam soal ini,” akhirinya