MULA menyanyi sejak berumur sembilan tahun, penyanyi Masya Masyitah mempunyai impian tersendiri untuk dicapai.

Tidak gentar dengan cabaran menanti, anak kelahiran Kulim, Kedah yang mahir berbahasa Mandarin itu tekad untuk mengembangkan bakat nyanyiannya sejauh mungkin, termasuk ke pasaran muzik negara China.

Mengiringi impiannya itu, Masya atau nama lengkapnya Nur Masyitah Mohd Yusoff, tidak putus menghadiri pelbagai uji bakat untuk melayakkan dirinya menyertai pertandingan nyanyian di negara China.

“Memang dari dulu saya suka cover lagu-lagu Mandarin kerana saya bersekolah di sekolah Cina.

“Bila tengok ramai yang suka dan bagi respon positif setiap kali saya kongsikan video menyanyi lagu Mandarin, semangat saya untuk terus mendalami lagu dari bahasa itu semakin tinggi.

“Malah saya juga sanggup mengambil kelas persendirian untuk belajar bahasa itu dalam usaha untuk memantapkan penguasaan, sekali gus melangkah lebih jauh dengan menyertai pertandingan nyanyian dalam bahasa Mandarin,” terang Masya.

Usahanya membuahkan hasil apabila bekas juara program realiti Ceria Pop Star 2014 itu sering diundang untuk menjayakan persembahan di China.

Tidak hanya itu, Masya juga menerima anugerah Asia Music Awards untuk kategori Most Potential New Artist of the Year di Shenzhen, China pada tahun lalu, sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.

“Kalau ikutkan, saya sepatutnya menyertai sebuah pertandingan realiti nyanyian di China pada tahun lalu selepas berjaya melepasi sesi uji bakat yang diadakan di Beijing.

“Namun ia tidak menjadi kenyataan apabila penyertaan itu ditarik semula atas alasan saya berhijab.

“Saya sedikit pun tidak terkilan terlepas peluang tersebut kerana percaya pasti ada hikmah di sebaliknya.

“Lagipun pertandingan itu memerlukan saya menari secara berkumpulan dengan penari-penari seksi yang tentunya tidak sesuai dengan penampilan saya.

“Insya-ALLAH banyak lagi pertandingan lain yang saya boleh sertai di sana dan saya tidak pernah berputus ada untuk terus mengintai peluang,” katanya bersyukur menerima maklum balas positif setiap kali mengadakan persembahan di sana.

Miliki rumah sendiri

Dalam pada sibuk merencana kerjaya seninya, penyanyi yang tampil dengan single Hapus itu juga kini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan apabila mengusahakan Delici by Masya yang menyediakan aneka kek dan biskut, hasil air tangannya sendiri.

“Perniagaan ini baru sahaja saya usahakan pada tahun lalu dan alhamdulillah ia mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai.

Iklan

“Buat masa ini saya hanya lakukan secara kecil-kecilan menerusi jualan atas talian kerana mahu lebih fokus agar kualitinya terjaga.

“Seronok berniaga kerana rasa puas hati apabila dapat hasilnya dalam masa singkat, selain penat lelah yang dirasakan berbaloi,” akuinya.

Meski usianya baharu menginjak usia 20 tahun, penyanyi tinggi lampai itu sentiasa berpandangan jauh dan mahu hidup berdikari atas usaha sendiri.

Tidak hairanlah pada usia itu, dia sudahpun memiliki rumah sendiri yang dibeli daripada wang simpanannya semenjak awal menceburi bidang seni.

Lebih membanggakan rumah jenis kondominium yang berharga RM300,000 itu dibeli secara tunai.

Iklan

“Alhamdulillah impian saya memiliki rumah sendiri tercapai pada tahun lalu dengan menggunakan wang simpanan hasil penglibatan saya dalam bidang seni termasuk penyertaan dalam pelbagai pertandingan sejak kecil lagi.

“Saya usahakan untuk membeli secara tunai kerana tidak suka berhutang dan cuba mengelakkan daripada rugi dengan membayar lebih untuk kadar faedah dan sebagainya.

“Rumah itu saya diami bersama ibu saya, sementara bapa masih di Kulim, Kedah kerana terikat dengan komitmen kerjanya,” kata Masya yang mahu memberikan contoh terbaik buat remaja sebayanya.

 

(FOTO: Rosli Talib)