PELAKON Julia Farhana Marin mengakui bakal berkahwin dalam masa terdekat dan persiapan sudah pun siap 90 peratus.

Bagaimanapun aktres berusia 28 tahun itu lebih selesa untuk merahsiakan hari bahagianya itu kerana mengutamakan privasi.

“Kalau ikutkan ramai yang tidak tahun saya bertunang. Saya memang seorang yang pentingkan privasi, sebab itu banyak perkongsian di media sosial berkaitan dengan kerjaya sahaja.

“Apa yang saya harapkan, majlis kami nanti dipermudahkan,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Flagship Store Rizman Ruzaini yang diadakan di Hotel Four Seasons, pada Rabu.

Sempena pembukaan Butik RR FlagShip Store, Rizman Ruzaini juga menawarkan potongan harga besar-besaran sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.

Selain Julia, acara tersebut turut dihadiri barisan selebriti tempatan lain seperti Uyaina Arshad, Hawa Rizwana dan Afifah Nasir.

Ditebak mengenai tunangnya, Dr Che Muhammad Hafiz, pelakon yang mula dikenali menerusi filem Warna Cinta Impian itu berkata, keluarga menjadi ‘orang tengah’ dalam perhubungan mereka.

“Saya dah kenal dia dua tahun. Ini adalah aturan keluarga dia dan keluarga saya.

Iklan

“Sebenarnya saya kenal Dr Hafiz melalui mak saya. Mak saya sudah lama kenal dan suka dengan dia. Saya pula tiada niat pun nak settle down sebab saya gembira dengan karier, fokus dengan pelajaran, menyanyi dan berlakon.

“Bila dah kenal, saya rasa dia okey. Dia lelaki baik, softspoken, gentleman, seorang yang sangat matang dan boleh dibincang. Saya rasa dia bukan orang yang teruk untuk dijadikan calon suami,” jelasnya.

Iklan

Untuk rekod, Hafiz sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Lufya Omar dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia empat tahun.

Bagaimanapun Hafiz dan Lufya bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.