Meninggal di pagi Jumaat bulan Ramadan, pelakon Abu Bakar Omar tiada lagi. Negara hilang bakat besar lakonan
PELAKON veteran Abu Bakar Omar meninggal dunia. Ini merupakan kehilangan besar dunia lakonan tanah air.
Meninggal dunia pada usia 73 tahun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 9.04 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di Alor Setar, Kedah. Punca kematian adalah akibat masalah jantung.
Khabar pilu itu telah dikongsi anak Allahyarham, Mohd. Zainuddin Abu Bakar menerusi satu hantaran di Facebook.
“Dikemuliaan pagi Jumaat, 4 Ramadan bersamaan 16 April 2021 pukul 9.04 pagi, dengan sedih keluarga memaklumkan bahawa ayahanda kami, Abu Bakar Omar telah dijemput kembali ke rahmatullah.“Jenazah akan diuruskan di No. 7, Jalan Bukit Nyamuk, Mukim Kurung Hitam, Kuala Nerang, Kedah dan solat jenazah dijangka selepas solat Jumaat,” tulisnya.
Jenazah akan disolatkan sekali lagi di Masjid Al-Ghufran sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, Jalan Pegawai Alor Setar, Kedah selepas solat Asar.
“Mohon doakan ayahanda kami diampuni segala khilafnya dan ditempatkan bersama para Solohin.
“Bagi pihak keluarga kami memohon maaf atas segala salah silap almarhum ayahanda kami sepanjang hayat beliau bersama masyarakat warga nusa ini,” tulisnya.
Dilahirkan di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah pada 25 April 1948, Abu Bakar pernah membintangi beberapa filem kutipan tertinggi seperti Fenomena, Hingga Hujung Nyawa dan Duyung. Beliau diibaratkan permata seni Malaysia pernah bertugas sebagai bekas bendahari Seniman.
“Selamat berangkat ke negeri abadi”-Azhan Rani
Penggiatt seni tanah air turut melahirkan kesedihan atas pemergian Allahyarham. Aktor Azhan Rani yang mengakui Abu Bakar adalah pelakon yang sangat dikaguminya. Lebih-lebih lagi sempat berlakon di dalam sebuah telemovie baru-baru ini.
“Allahuakbar. Baru sahaja menerima berita duka perginya seorang pelakon yang sangat-sangat aku kagumi dari kecil lagi baik di pentas teater, drama radio TV dan filem. Antara pelakon yang paling aku teruja kalau dia yang jadi ayah aku dalam cerita tu. Selamat berangkat ke negeri abadi Uncle Abu Bakar Omar.
Mac 2020 aku terlalu teruja bila dapat tau beliau sudi untuk bersama-sama kami dalam telemovie Khilaf Terakhir yang diterbitkan @naziamustafar untuk @rtm_malaysia yang menjalani pengambaran di Kedah dan Perlis. Lama beliau berehat dari muncul di depan kamera.
Aktres Fauziah Dato' Ahmad Daud berkongsi catatan hiba
“Beruntungnya abang dipanggil pulang pada hari Jumaat dibulan Ramadan. Banyak sungguh kenangan indah bersama abang. Ketika berlakon bersama aktor yang saya amat-amat menghormati hasil kerja abang akan sentiasa terpahat dihati peminat abang.
“Ya allah Kau ampunkanlah dosa-dosanya dan tempatkanlah rohnya didalam golongan orang-rang yang beriman. Ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham Haji Abu Bakar Omar,” luah Fauziah di Instagram.
Takziah daripada kami di Sinarplus buat ahli keluarga Allahyarham Abu Bakar Omar. Semoga rohnya dicucuri rahmat.
Sumber: Mohd. Zainuddin Abu Bakar, Azhan Rani, Kak Ogy
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang