Miliki suara emas, Liza Hanim terus diberi kepercayaan bawa lagu P. Ramlee
KEHEBATAN vokal milik penyanyi Liza Hanim sememangnya tidak boleh disangkal, malah sentiasa menjadi bualan dalam kalangan peminat seni suara sehingga diangkat sebagai salah seorang penyanyi terbaik wanita tanah air.
Suara gemersik penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Getaran Cinta Di Jiwa sejak lebih dua dekad lalu itu bukan hanya indah dan berjiwa kala mendendangkan lagu-lagu pop semasa, tetapi juga menerusi karya klasik terutamanya lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Puan Seri Saloma.
Tidak hairanlah namanya sentiasa menjadi pilihan pertama apabila melibatkan acara-acara untuk memperingati seniman agung itu termasuk yang terbaru, Konsert P. Ramlee - Signature A Minor 7 yang akan diadakan di PJ Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya, Selangor pada 7 dan 8 Julai depan, jam 8.30 malam.
Menurut pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim, penglibatannya bersama Sean Ghazi dalam konsert tersebut umpama pelengkap tribute setelah sebelum ini pernah merakamkan album khas seniman itu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti pada tahun 1998, selain menjadi bintang utama pementasan teater muzikal P. Ramlee (2008).
“Alhamdullilah sejak dari dulu sehingga sekarang, saya terus mendapat kepercayaan untuk terlibat dengan acara-acara yang melibatkan tribute Allahyarham.
“Satu penghormatan yang besar buat saya sebagai penyanyi yang mungkin orang lain tak dapat apabila nama sering disebut dan diiringkan dengan karya-karya seniman yang banyak berjasa kepada industri muzik tanah air ini.
“Saya rasa terharu dan dalam masa sama bangga kerana diberikan peluang sebegitu dalam kerjaya sebagai penyanyi,” ujarnya kepada SinarPlus.
Mengulas tentang persiapannya untuk konsert anjuran PH7 Production Management itu, wanita berusia 43 tahun yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya ini akui seronok dapat bekerja dengan maestro muzik terkenal, Aubrey Suwito yang akan memimpin persembahan tersebut.
Sentiasa mahu memberikan yang terbaik, Liza menjanjikan sesuatu yang cukup istimewa buat peminat dan penonton yang hadir pada persembahan dua malam itu.
“Kolaborasi dengan Sean dan Aubrey adalah sesuatu yang sangat mengujakan. Sepanjang latihan kami sangat seronok menikmati karya Allahyarham dan berusaha untuk memberikan yang terbaik tanpa mengabaikan keaslian karya pada persembahan sebenar nanti.
“Cuma apa yang saya harapkan agar kesihatan berada dalam keadaan yang baik menjelang konsert kerana dalam keadaan cuaca tidak menentu ini kesihatan selalu terganggu apabila kerap mengalami sakit tekak dan masalah pernafasan,” katanya.
Perubahan
Dalam pada itu, ibu kepada lima anak itu juga berkata, suaranya turut mengalami perubahan selepas tiga kali dijangkiti virus Covid-19, termasuk yang terbaru pada Aidilfiti lalu.
Sebagai penyanyi yang bergantung kepada suara untuk melakukan persembahan, Liza sentiasa mencari solusi terbaik untuk mengatasi atau beradaptasi dengan situasi tersebut.
“Selepas tiga kali kena Covid, memang saya dapat rasakan perubahan yang berlaku pada suara, selain kesan pada stamina dan pernafasan. Bila menyanyi nafas jadi pendek dan cepat penat.
“Jadi saya perlu buat latihan pernafasan dan kardio untuk memastikan semua kembali baik. Namun dalam usia sekarang, saya juga kena berpada-pada agar tidak memberikan kesan lain pada diri,” katanya.
Tidak hanya itu, Liza mengakui faktor usia juga membuatkan suaranya mengalami sedikit perubahan. Pun begitu, beliau tidak pernah risau dengan keadaan itu yang dianggap sebagai proses normal yang dilalui semua orang.
Malah beliau yang pernah menghasilkan tujuh buah album studio itu tidak pernah terfikir untuk meletakkan titik nokhtah pada penglibatannya dalam dunia seni suara, selain bakat dan dirinya masih diterima ramai.
“Saya masih ada impian yang ingin dicapai dalam kerjaya iaitu menjayakan konsert solo khas buat peminat. Biarpun perlu menunggu, saya harap ia akan menjadi kenyataan juga.
“Sejujurnya saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan bidang nyanyian kerana cinta saya sentiasa ada sini. Tiada perancangan bila atau bagaimana. Selagi diterima dan masih mampu menyanyi, saya akan teruskan sahaja,” katanya mengakhiri perbualan.
(FOTO: PH7 PRODUCTION MANAGEMENT)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang