‘Ibu menemani bukan kerana gentar’ — Dr Zailah kongsi transformasi Dr Fie selepas penceraian, bangkit demi hak & masa depan anak
ADA fasa dalam hidup seorang wanita yang menuntut lebih daripada sekadar air mata.
Ia memerlukan keberanian, kesabaran dan sokongan yang tidak berbelah bahagi, terutamanya daripada seorang ibu.
Itulah yang dikongsi oleh Dr Zailah Zainudin, ibu kepada Dr Afifah atau lebih dikenali sebagai Dr Fie, menerusi beberapa hantaran menyentuh hati di media sosial.
Tanpa nada sensasi, coretan beliau tampil jujur, lembut dan penuh makna tentang perjalanan seorang wanita selepas melalui penceraian.
Hantaran berbentuk puisi dimuat naik di Threads, wanita tersebut meluahkan perasaannya sebagai seorang ibu yang setia menemani anak perempuannya dalam fasa sukar kehidupan.

Ibu menemani bukan kerana kamu gentar,
tetapi tanda ibu ada di kala sukar.
Dulu kamu sentiasa mengharap,
kini langkahmu semakin tegap.
Teruslah berdiri,
doa ibu sentiasa mengiringi.
Perjuangan wanita selepas penceraian
bukan soal dendam,
tetapi soal hak, maruah dan masa depan.
Mudah-mudahan anakanda istiqamah
dan dikurniakan kekuatan, insya-ALLAH.
Titipan ringkas itu nyata menyentuh hati ramai, khususnya wanita yang pernah atau sedang melalui fasa kehidupan yang sama, bangkit perlahan-lahan, namun semakin kuat dari hari ke hari.
Dalam satu perkongsian lain di Facebook, Dr Zailah berkongsi sisi lebih peribadi tentang perjalanan anaknya yang berdepan proses turun naik mahkamah sejak Ogos 2025.
Beliau mengakui berasa kagum dan bangga melihat kekuatan Dr Fie sebagai seorang wanita yang kini berjuang demi hak dan maruah diri serta masa depan anak-anak.
“Bermulalah episod turun naik mahkamah… Masya-ALLAH. Hari ini saya melihat seorang wanita yang sedang berjuang demi hak dan maruah untuk masa depan anak-anak.
"Ibu sangat bangga," ungkapnya penuh makna.
Namun di sebalik kekuatan itu, masih ada detik rapuh yang hanya seorang ibu mampu fahami.
“Ibu… along gementar pagi ni… sakit perut ni… nak pergi tandas,” kata Dr Fie
Dr Zailah bersama suaminya ketika itu dalam perjalananan menjemput Dr Fie untuk dibawa ke mahkamah.

Apa yang paling menyentuh hati Dr Zailah ialah perubahan yang dilihat pada anaknya sepanjang melalui proses ini.
“Melalui proses penyelesaian sejak Ogos 2025, hari ini saya sedar… saya sudah dapat kembali anak yang dulu ketika kecil.”
Menurut beliau, kehidupan berumah tangga sebelum ini menjadikan Dr Fie seorang yang terlalu bergantung dan kurang yakin diri.
Namun sedikit demi sedikit, perubahan itu mula jelas.
“Alhamdulillah, perlahan-lahan saya nampak dia semakin berdikari, berjiwa ‘go-getter’.
"Menakjubkan. Saya nampak dia semakin menjadi dirinya yang dulu yang yakin dan berani," kongsinya.
Dr Zailah turut menyebut rakan-rakan lama Dr Fie dari SMKA Sheikh Hj Ahmad Said dan TKC Seremban pasti mengenali sisi anaknya yang dahulu, seorang yang berkeyakinan tinggi dan sering menjadi pencetus trend.
Mengakhiri perkongsiannya, Dr Zailah menitipkan pesan penuh makna buat anak perempuan tersayang.
“Situasi sukar boleh menjadi peluang kepada kejayaan baharu, insya-ALLAH.
"Wahai anakku, kamu lebih kuat daripada hari yang pernah mematahkanmu dan kamu akan bangkit semula, insya-ALLAH," titipnya lagi.
Coretan ini bukan sekadar kisah seorang ibu dan anak, tetapi gambaran realiti ramai wanita bahawa kejatuhan bukan noktah, sebaliknya ruang untuk menemui semula kekuatan diri, dengan doa seorang ibu sentiasa menjadi pelindung paling setia.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
