FILEM tempatan sekali lagi diiktiraf di luar negara apabila ‘Miimaland’ diumumkan sebagai Filem Seram Terbaik bagi kategori filem cereka di AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada, pada Isnin.

Filem karya Nevin Hiong itu mengetepikan empat filem lain yang turut bertanding iaitu ‘Dead Destination’ dan ‘Faith’ dari United Kingdom, ‘Edwin’ (Kanada) dan ‘Thousand of Years’ (Amerika Syarikat).

Pengarahnya Nevin, 50, berkata, mereka hanya mencuba nasib dengan menghantar karya berkenaan ke beberapa festival filem luar negara, namun tidak disangka beroleh kejayaan.

“Sebelum ini, filem ini juga tidak terlepas daripada pelbagai pengkritik filem di YouTube. Jadi, kami bangga dengan kemenangan ini kerana ia penting buat pasukan sekali gus menjadi penanda aras atas kejayaan kami,” katanya kepada Bernama.

Filem terbitan Mico Studio (M) Sdn Bhd itu mengisahkan sekumpulan pencipta kandungan yang menerima satu tawaran tugasan luar biasa bagi membuat aktiviti penggambaran di kawasan tapak taman tema hiburan yang terbiar lama iaitu Mimaland yang pernah terkenal sekitar 1980-an.

Sepanjang proses mendapatkan kandungan pelbagai perkara berlaku bahkan satu demi satu, ahli daripada kumpulan mereka meninggal dunia akibat mengunjungi tempat tersebut dan tanpa disedari mereka juga menyeru semangat mistik di sana.

Bukan itu sahaja, Nevin yang telah berkecimpung lebih 10 tahun dalam industri seni, turut memenangi kategori Pengarah Terbaik menerusi filem tersebut.

Iklan

Anak kelahiran Johor Bahru itu memulakan kerjaya sebagai juru sinematograf dalam pelbagai filem Melayu seperti ‘Cerita Kita’, ‘Nasi Kangkang’, ‘Jin’, ‘Cerita Hantu Malaysia’ dan ‘Highland Tower’ sebelum membuat debut dalam dunia pengarahan menerusi filem sains fiksyen permotoran berjudul ‘Kampung Drift’ pada 2016.

“Setiap pengalaman ini merupakan langkah penting dalam setiap kerja seni saya dan ia mempunyai rentak serta saling berkaitan di antara satu sama lain,” katanya.

Iklan

Selain itu, Nevin berkata, filem berkenaan turut tercalon dalam beberapa festival filem antarabangsa seperti Portland Horror Film Festival, Brussels Independent Film Festival dan Europe Film Festival.

Miimaland ditayangkan di pawagam tempatan pada 24 September 2020, menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Fattah Amin, Sophia Albarakbha, Zandra Ridhuwan, Camelia Natasya, Hazzy Alzeeq, Zalif Sidek dan dua pelakon dari Korea, Chelsea Esdher Wang dan Cindy Dahyun Ohn. – Bernama