PELAKON Ikmal Amry berkongsi berita duka mengenai keluarganya yang mengalami kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) petang Sabtu.

Difahamkan pelakon berusia 28 tahun itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Melaka bersama isteri, Najla Shamsul, 23, dan anak mereka, Cailie, lapan bulan.

“Mimpi ngeri yang tak sanggup ku lalui terjadi. Pahit untuk ditelan, tetapi pengalaman yang menjadi pengajaran.

“Alhamdulillah kami sekeluarga selamat. Allah masih bagi peluang. Alhamdulillah,” coretnya ringkas menerusi akaun Instagram miliknya.

Melalui entri sama, Ikmal juga berkongsi beberapa keping gambar dan video menunjukkan kondisi kereta yang dipandunya terbalik di tengah-tengah jalan raya.

IKMAL AMRY
Ikmal bersyukur kerana mereka sekeluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku, Ikmal mengakui memandu kereta dalam keadaan kurang rehat selepas selesai menjalani penggambaran pada jam 7 pagi.

“Saya sudah berjanji untuk pulang menziarahi keluarga di Melaka. Selepas habis penggambaran jam 7 pagi, saya pulang ke rumah untuk berehat dan bergerak ke kampung pada jam 11 pagi.

“Dalam keadaan yang kurang rehat, saya gagahkan diri untuk memandu. Saya akui ia satu kesalahan apabila memandu dalam keadaan kurang rehat.

Iklan

“Lima kilometer sebelum sampai ke tol Ayer Keroh, kejadian ini berlaku di mana saya terlanggar sebuah kereta Myvi dan Honda sebelum berpusing dan terseret ke tengah jalan,” jelasnya.

Pelakon Gantung itu juga meminta semua pihak membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan tidak sewenangnya menunding jari.

Iklan

“Saya dan keluarga masih trauma dengan kejadian semalam. Syukur tiada kemalagan jiwa yang berlaku.

“Saya nak minta maaf pada semua yang terlibat. Bukan kehendak saya dan bukan juga nak cakap saya tak bersalah. Tapi tidak perlu keruhkan keadaan,” ujarnya.