Minari beri impak luar biasa

Filem Minari
Filem Minari
A
A
A

SELEPASParasite, sebuah lagi filem berbahasa Korea, Minari berjaya mencuri perhatian antarabangsa apabila tampil dengan sebuah cerita yang memberi impak luar biasa pada tontonan.

Keunikan itu turut mengangkat filem arahan Lee Isaac Chung itu untuk dicalonkan dalam enam kategori di Academy Awards 2021 atau Oscars yang bakal berlangsung bulan ini, selain turut mencipta kejayaan awal menerusi pelbagai pengiktirafan di beberapa acara festival filem berprestij.

Filem terbitan produksi Hollywood itu merupakan sebuah karya semi autobiografi yang diinspirasikan daripada kisah benar dilalui Chung ketika kecil.

Mengambil latar masa era 1980, Minari menceritakan tentang sebuah keluarga Korea Selatan yang berpindah ke kawasan pendalaman di Arkansas, Amerika Syarikat untuk membina impian mereka.

Keluarga tersebut terdiri daripada pasangan suami-isteri Jacob dan Monica, serta dua anak mereka, Anne serta David.

Hidup sebagai imigran di negara asing tentunya tidak semudah yang Jacob bayangkan. Malah mereka berdepan pelbagai dugaan dan cabaran termasuklah perbezaan budaya dan stereotaip masyarakat terhadap golongan pendatang.

Di saat konflik Jacob dan isterinya memuncak disebabkan pertentangan pendapat berkait prioriti masa depan keluarga mereka, datang pula ibu mertuanya, Soon Ja yang mengubah suasana dalam keluarga mereka.

Minari adalah sebuah filem sederhana namun cukup besar jiwa dan mesejnya. Jalan ceritanya kemas berjaya mengikat penonton untuk terus menyelami apa berlaku dan mesej yang dibawa karakter terlibat.

Lebih menarik, elemen-elemen Korea yang ditampilkan dalam filem itu juga berfungsi baik, malah memberikan erti dan simbolik yang tersendiri dalam menyokong penceritaan.

Ini kerana setiap perkara atau babak yang ditampilkan, semuanya ada sebab dan tujuannya termasuk tumbuhan Minari yang dijadikan judul filem ini.

Pujian juga untuk barisan pelakonnya yang berjaya memberikan sebuah lakonan meyakinkan sehingga terasa watak mereka seolah wujud di dunia nyata.

Lakonan mantap pelakon veteran Korea, Youn Yuh-Jung antara yang paling mencuri perhatian, malah berjaya mewarnai penceritaan dengan emosi pelbagai yang ditampilkan.

Secara keseluruhannya, Minari adalah sebuah filem yang tidak harus dilepaskan. Jangan ketinggalan menyaksikan filem hebat ini yang sudahpun menemui penonton di pawagam mulai 1 April lalu.

Filem: Minari

Bahasa: Inggeris/Korea

Klasifikasi: P13

Genre: Drama

Durasi: 1 jam 55 Minit

Tarikh Tayangan: 1 April 2021

Pengarah: Lee Isaac Chung

Pelakon: Steven Yeun, Han Ye-Ri, Youn Yuh-Jung, Alan Kim, Noel Kate Cho

Bintang: 4 daripada 5

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca