Mira Filzah tak mudah melatah

A
A
A

NAMPAK seronok, dikelilingi ramai orang, bergaya dengan pelbagai fesyen, namun hakikatnya bukan mudah untuk menjadi selebriti.

Apatah lagi pada zaman teknologi kini, segala tindak-tanduk diperhatikan, lebih-lebih lagi apabila menjadi individu dikenali ramai.

Termasuk jugalah dengan pelakon dan pengacara, Nur Amirah Filzah Badioezaman atau lebih dikenali dengan nama Mira Filzah.

Lebih-lebih lagi sejak mendirikan rumah tangga 3 September lalu dengan anak sulung kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid iaitu Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, ada sahaja usikan nakal netizen yang menyifatkan Mira lebih terbuka berkongsi kemesraannya di media sosial.

Bagaimanapun bagi empunya badan, dia masih meletakkan had batasan dalam berkongsi hal peribadi sama seperti sebelum berkahwin.

Tidak melatah dengan usikan itu, wanita 27 tahun itu terbuka dengan apa sahaja pandangan daripada orang ramai dan berpendapat bukan semua orang menyukainya.

“Kalau ikutkan, saya tak terlalu kongsi hal personal. Cuma kalau ada content untuk saluran YouTube, itu lainlah.

“Apa yang kami kongsikan dalam saluran itu adalah sesuatu yang kami create, bukan hal peribadi.

“Cuma dengan kemajuan teknologi, ada pihak yang ambil content di YouTube itu dan jadikan artikel. Kadangkala orang baca tajuk sahaja, tetapi mencetuskan salah faham, walaupun artikel itu biasa.

“Pada pandangan saya, saya tak boleh control kalau ada yang mengecam, meluat. Cuma kalau tak suka, tak perlu tonton,“ ujarnya kepada SinarPlus.

Mira menyifatkan majalah Nona dan semua majalah di bawa penerbitan Kumpulan Media Karangkraf, dekat di hatinya.

Mira ditemui di acara Nona Superwoman Award 2020 di Shah Alam Covention Centre baru-baru ini. Pada malam pengiktirafan daripada majalah Nona itu, Mira menerima anugerah Nona Influencer Award.

Ditanya penerimaan suaminya terhadap kecaman dan kritikan netizen, Mira berkata, Emir tidak pernah berkecil hati.

“Emir macam saya, dia relaks dan OK dengan komen daripada netizen. Lagipun sekarang ini zaman digital, ia adalah perkara biasa melihat orang meluahkan pendapat mereka.

“Alhamdulillah, Emir sangat memahami bukan hanya netizen tetapi saya sebagai selebriti,“ jelasnya.

Kembali sibuk bekerja

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Mira berkata, dia kini kembali sibuk di lokasi penggambaran.

Katanya, jadual penggambaran juga sudah penuh sehingga Mac depan.

“Alhamdulillah saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama The Maid bersama pelakon hebat seperti Datin Paduka Eina Azman, Sherry Alhadad, Ezzaty Abdullah, Norman Hakim dan ramai lagi.

“Insya-ALLAH tidak lama lagi saya akan memulakan penggambaran drama bersiri Sweet Dreams untuk musim kedua.

“Kemudian diikuti penggambaran filem Sangkar 2. Semua projek itu sangat-sangat saya nantikan dan harap peminat juga teruja untuk menyaksikannya nanti,“ ujarnya.

Kembali sibuk di set penggambaran... Mira baharu sahaja menyelesaikan penggambaran drama The Maid dan bakal memulakan pengambaran Sweet Dreams 2 tidak lama lagi.

Rindu melancong

Selain sibuk bekerja, Mira berkata, dia berharap pandemik Covid-19 akan reda pada tahun ini.

Katanya, dia merancang untuk bercuti dan melawat keluarga kakaknya di New York.

“Sejujurnya rindu sangat nak pergi berjalan. Kalau boleh ke luar negara, saya berharap dapat ke New York selepas selesai kerja, Mac depan.

“Banyak tempat yang ada dalam kepala, tetapi New York akan menjadi destinasi pertama kerana rindu untuk bertemu kakak dan anaknya di sana,“ katanya.

Ditanya perancangan lain, terutamanya soal zuriat, Mira berkata, dia tidak pernah merancang dan bersedia menimang cahaya mata pada bila-bila masa sahaja.

Mira menyifatkan Emir seorang yang memahami dan cool.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca