HAMPIR dua dekad bergelar anak seni, penyanyi Misha Omar mempunyai kedudukan tersendiri dalam industri dengan pelbagai kejayaan yang diraih.

Namun penyanyi yang mula menempa nama menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta itu mengakui berbangga dan sentiasa meraikan pencapaian barisan bakat muda yang mewarnai dunia seni tanah air.

“Saya seronok melihat perkembangan penyanyi-penyanyi muda yang tampil dengan kepelbagaian bakat dalam mewarnai industri.

“Tidak timbul soal penyanyi senior seperti saya perlu bersaing dengan mereka, sebaliknya kita sama-sama meriahkan industri. Saling meraikan bakat dan pencapaian masing-masing.

“Sudah hampir 20 tahun saya dalam industri dan saya suka untuk berkongsi pengalaman yang ada kepada bakat-bakat muda dengan cara bekerjasama dengan mereka,” ujarnya.

Malah Misha atau nama sebenarnya Samihah@ Aisah Omar, 39, mengakui teruja untuk beraksi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik pada 31 Disember ini yang rata-ratanya didominasi bakat muda.

Tampil mempertaruhkan lagu ciptaannya bersama komposer Sze Wan, Tanpa Rela, Misha tidak pernah melihatan kedudukannya sebagai penyanyi senior sebagai satu kelebihan.

“Barisan penyanyi dan lagu yang bertanding semuanya hebat-hebat dan saya sendiri gementar untuk beraksi di pentas itu.

“Walaupun berpengalaman dalam nyanyian, saya juga ada tekanan sendiri. Kadang-kala apabila berada di pentas dalam mood pertandingan begitu, ada sahaja kesilapan di luar jangka berlaku.

“Bagaimanapun saya sentiasa fikir positif dan serahkan pada rezeki. Apa yang penting buat persiapan secukupnya, tidak kiralah penyanyi senior atau baharu. Saya sendiri masih mengambil kelas vokal bersama Syafinaz Selamat untuk memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Persembahan amal

Dalam pada itu, Misha yang ditemui pada majlis pelancaran Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner di Hotel Royale Chulan pada Selasa, meluahkan rasa gembira apabila industri seni kembali ‘bernyawa’ setelah hampir dua tahun terhenti disebabkan pandemik.

“Alhamdulillah industri kembali rancak, sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak seni.

“Saya terharu dapat kembali bekerja dan masih mendapat kepercayaan pelbagai pihak untuk terus berada di pentas menghiburkan orang ramai.

“Dalam situasi serba sukar ini, saya harap kita saling menyokong dan memberikan energi positif kepada semua orang,” ujarnya.

Iklan
Misha bakal menjayakan Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner yang akan berlangsung di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur pada 19 Februari depan – FOTO: The H Entertainments

Menyentuh tentang progam makan malam amal yang bakal berlangsung di hotel sama pada 19 Februari depan, Misha menyifatkan ia sebagai ruang terbaik untuknya mengajak orang ramai berhibur sambil menderma.

“Apabila diberitahu persembahan ini untuk tujuan amal, saya terus rasa bersemangat. Dalam situasi sekarang, memang itulah yang sebaiknya. Kita memberikan hiburan pada orang dan dalam masa sama membantu mereka yang memerlukan.

“Selama satu jam saya akan tampil dengan seleksi lagu kegemaran ramai untuk semua yang hadir,” katanya yang akan tampil bersama penyanyi Zarol Zarif dan Dafi dalam persembahan tersebut.

Hasil sumbangan dan jualan meja daripada program ini akan diagihkan kepada beberapa Yayasan Kebajikan yang memerlukan dana bagi meneruskan program-program kebajikan mereka. Tidak ketinggalan, dana tersebut juga akan diberikan kepada pihak Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air (Papita) untuk diagihkan kepada anak-anak seni yang memerlukan.

Iklan

Dalam masa sama, The H Entertainments turut berbesar hati menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas akibat bencana tersebut di beberapa negeri baru-baru ni.

Tiket persembahan menerusi penjualan meja program amal itu boleh dibeli secara individu atau berkumpulan dengan harga bermula RM5,000 (silver), RM10,000 (ruby), RM15,000 (diamond), RM20,000 (gold) dan RM25,000 (platinum).

 

(FOTO: The H Entertainments)